KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan susulan krisis bekalan global yang tercetus akibat konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan bertindak pantas sejak konflik itu bermula dengan memperkukuh tadbir urus krisis menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bermesyuarat secara mingguan bagi menilai perkembangan semasa, mengenal pasti risiko kepada ekonomi negara serta menyelaras tindakan kementerian dan agensi berkaitan.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 120 keputusan MTEN telah dan sedang diambil tindakan, dengan 27 keputusan selesai dilaksanakan manakala 93 lagi masih dalam proses pelaksanaan.
“Ini menunjukkan bahawa intervensi kerajaan bukan sekadar diumumkan, tetapi sedang dilaksanakan dan dipantau secara dekat,” katanya ketika memberi penerangan kepada Dewan Rakyat berhubung krisis bekalan global, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) turut ditubuhkan bagi memantau kedudukan bekalan, harga, rantaian logistik serta keperluan intervensi segera, selain Dashboard Pantau Krisis diwujudkan bagi membolehkan perkembangan semasa dipantau secara hampir masa nyata.
Mengulas kedudukan ekonomi negara, Akmal Nasrullah berkata, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun persekitaran global terus mencabar.
Katanya, keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong permintaan domestik yang kukuh, manakala kadar inflasi kekal terkawal pada 2.0 peratus pada Mei lalu berbanding 1.9 peratus pada April.
Pada masa sama, jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 meningkat 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion, manakala aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama tahun ini mencecah RM22.8 bilion, khususnya dalam sektor perkhidmatan.
Selain itu, Malaysia turut merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion membabitkan 1,249 projek yang dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu.
“Walaupun penganalisis global mengiktiraf kedudukan Malaysia, bagi kerajaan ukuran yang lebih penting ialah rakyat masih boleh mendapatkan bekalan minyak di stesen minyak, memperoleh barangan keperluan di rak kedai, meneruskan pekerjaan serta menerima bantuan apabila diperlukan.
“Itulah maksud sebenar daya tahan ekonomi. Ia bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi kestabilan yang dapat dirasai dalam kehidupan harian rakyat,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai langkah intervensi bagi melindungi rakyat, menstabilkan bekalan dan harga, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta membina daya tahan ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang.
Beliau berkata, perkembangan krisis bekalan global akan terus dipantau secara berterusan melalui MTEN bagi memastikan sebarang risiko kepada ekonomi negara dapat ditangani lebih awal dan berkesan. – MalaysiaGazette


