Exco Perak yakin Ahmad Saidi mampu pikul tugas Speaker Dewan Belia

IPOH – Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yakin Ahmad Saidi Mohamad Daud mampu menjalankan tugas sebagai Speaker Dewan Belia Perak dengan baik.

Khairudin berkata ini kerana pemilihan Ahmad Saidi bagi jawatan itu dibuat berdasarkan kepada latar belakang pendidikan dan pengalamannya sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri.

“Speaker ini bertanggungjawab menentukan hala tuju dan proses perjalanan persidangan itu nanti dengan baik.

“Jadi, dengan pemilihan Ahmad Saidi ini saya cukup yakin dan percaya dengan pengalaman beliau sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas Exco, sudah pasti beliau mampu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Dewan Belia Negeri Perak sesi 2023/2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Pada majlis berkenaan, Ahmad Saidi mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Belia Perak di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Belia adalah Mohd Adri Adha Mohamad dan Muhammad Puhaz Saleh.

Selain itu, Wan Mohammad Afiq Wan Aris Fathillah; Noor Azwan Mohd Taib serta Darwisyah Izatti Azmira Mohd Yunus masing-masing juga mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Dewan Belia, Penolong Setiausaha Dewan 1 dan Penolong Setiausaha Dewan 2.

Tambah Khairudin, Persidangan Dewan Belia Perak akan berlangsung pada 23 dan 24 Disember depan yang mana ia akan dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI