BATU GAJAH – Pembukaan fasa pertama Dinosaur Encounter World bertemakan ‘Area 65: Back From Extinction’ di Silverlakes Village Outlet (SVO) hari ini bakal merancakkan lagi sektor pelancongan terutamanya menjelang Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Pengurus Besar Wegrow Global Sdn Bhd, Dr Anir Syazwan Sharbirin berkata, taman didik hibur imersif pertama di Malaysia itu mengaplikasikan teknologi terkini iaitu realiti terimbuh dan realiti maya.
Tambahnya, berkonsepkan sains pra-sejarah, pengunjung tidak akan melupakan pengembaraan dunia dinosaur terutamanya kanak-kanak.
Menurutnya, buat masa ini hanya fasa satu sahaja yang beroperasi melibatkan lima sektor manakala fasa kedua akan dibuka pada hujung bulan Januari sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.
Katanya, lima sektor tersebut adalah DNA Captures, DNA Dino Lab, Dino Clone Zone, Dino Warp dan Dino Realm VR.
“Untuk fasa 1, kita menganggarkan antara 30,000 ke 40,000 pengunjung akan mengunjungi taman tersebut.
“Benchmark kita adalah pelancong daripada Singapura kerana kita bawa tarikan baharu bertaraf dunia yang berbeza dan unik serta berteknologi tinggi pertama di Malaysia serta belum ada di mana-mana di negara ini.
“Selain itu, taman ini boleh memuatkan maksimum 100 ke 150 pengunjung pada satu-satu masa. Bagaimanapun, kita mempunya ranger di dalam untuk mengawal laluan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
“Bagi fasa dua, kita akan menampilkan dinosaur bersaiz lebih besar yang akan diletakkan di luar bangunan ini” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pra-pelancaran Dinosaur Encounter World di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohd Razif Ramli.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tronoh, Steven Tiw Tee Siang projek tersebut adalah yang keenam oleh Wegrow Global dan ia membantu dalam menambah produk pelancongan terbaharu khususnya di Batu Gajah.
Sebelum ini, Dinosaur Encounter sudah dilaksanakan di Pusat Sains Negara, Zoo Melaka, Zoo Teruntum Pahang, Terengganu dan Wetland Studios Putrajaya.
Orang ramai yang berminat untuk mengunjungi Dinosaur Encounter World ini boleh mendapatkan tiket berharga RM40 (RM30 pemegang MyKad) untuk dewasa dan RM30 (RM 20 pemegang MyKid).
Dinosaur Encounter World beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Khamis dari mulai jam 11 pagi hingga 6 petang manakala dari Jumaat hingga Ahad termasuk cuti umum dari jam 10 pagi hingga 7 malam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
TMP 2024: MBI sasar 150,000 pelancong dalam dan luar negara
TONTON VIDEO:
MGPerak: Dinaosaur Encaounter World Tawar Keunikan Unggul Di Batu Gajah!
[…] Fasa pertama Dinosaur Encounter World rancakkan TMP 2024 […]
[…] Fasa pertama Dinosaur Encounter World rancakkan TMP 2024 […]