Fawwaz Haiqal wakili Malaysia ke Kejohanan Dunia ACP di AS

TANJUNG MALIM – Kejayaan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad menjuarai pertandingan CCC’s Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia National Championship 2026, baru-baru ini, membolehkan beliau mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia ACP di Anaheim, California, Amerika Syarikat (AS) pada Julai depan.

Mahasiswa Program Pendidikan (Teknologi Maklumat) dari Fakulti Komputeran dan META-Teknologi (META) itu turut membawa pulang hadiah kemenangan dan tajaan perjalanan keseluruhan bernilai RM24,000 bagi menyertai pertandingan tersebut yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 29 Julai.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan berkenaan membuktikan keupayaan pelajar universiti itu untuk bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang reka bentuk kreatif dan teknologi digital.

“Kejayaan membanggakan ini membolehkan beliau mewakili Malaysia ke peringkat dunia, sekali gus meneruskan legasi kecemerlangan pelajar META dalam bidang reka bentuk kreatif dan pensijilan profesional antarabangsa.

“Pencapaian Muhammad Fawwaz Haiqal bukan sahaja menyerlahkan keupayaan luar biasanya dalam pertandingan ini, malah turut mengangkat nama UPSI sebagai institusi yang berjaya melahirkan bakat digital bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Adobe Certified Professional World Championship merupakan pertandingan bertaraf antarabangsa yang menguji kemahiran peserta menghasilkan poster kreatif menggunakan perisian Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign.

Kata beliau, peserta dari seluruh dunia akan mewakili negara masing-masing dalam menghasilkan poster yang informatif dan kreatif untuk organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dipilih pihak penganjur.

Ujar Md Amin, Muhammad Fawwaz Haiqal muncul antara tiga peserta terbaik negara daripada lebih 1,000 penyertaan melibatkan pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi seluruh negara dalam Kejohanan Kebangsaan ACP Malaysia 2026.

“Kejohanan Kebangsaan ACP Malaysia merupakan sebahagian daripada Kejohanan Kebangsaan ACP dan Microsoft Office Specialist Malaysia (MOS) 2026 anjuran Acestar Sdn. Bhd.

“Tahun 2026 menandakan edisi ke-11 penganjuran pertandingan ini yang berlangsung dengan kerjasama Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) serta rakan strategik badan bukan kerajaan (NGO),” katanya lagi.

Bertemakan ‘Bridging Gaps, Empowering Malaysia’, pertandingan berkenaan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh masyarakat inklusif melalui pembangunan bakat belia dalam bidang kreativiti dan teknologi digital.

Dalam pada itu kenyataan sama memaklumkan, kejayaan Muhammad Fawwaz Haiqal turut disumbangkan hasil bimbingan pensyarah Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Ahmad Nurzid Rosli, manakala Nur Saadah Fathil bertindak sebagai penasihat sepanjang pertandingan berlangsung.

Ahmad Nurzid berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam bidang teknologi kreatif dan digital.

“Sokongan, tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan menjadi antara faktor penting kepada kejayaan yang diraih, sekali gus membuktikan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Acestar, Natalie Sit berkata, platform ACP menjadi medan terbaik bagi bakat digital baharu untuk mengetengahkan kemahiran kreatif dan literasi digital mereka.

“Komuniti Creative Cloud dan Acestar Group mengalu-alukan lebih ramai pemimpin industri tampil menyokong para pemenang agar mereka dapat mewakili Malaysia dengan bangga ke Kejohanan Dunia Certiport 2026 di Amerika Syarikat.”

“Kejohanan itu bukan lagi sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform yang membawa harapan, membina keyakinan diri, serta mencipta peluang transformasi kehidupan kepada generasi muda melalui kreativiti dan kemahiran digital,” katanya.

Acara kemuncak kejohanan itu turut diserikan dengan penganjuran Micro-Credentials Education Summit (MCES) 2026 edisi kelima yang menghimpunkan lebih 300 delegasi tempatan dan antarabangsa termasuk wakil kementerian, agensi kerajaan, pemain industri serta 110 institusi pengajian tinggi.

Sidang kemuncak berkenaan dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

UPSI martabat tulisan Jawi dalam hebahan rasmi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI