Fifi mahu jadi guru lahir lebih ramai anak Orang Asli berjaya

IPOH – Satu-satunya pelajar cemerlang Orang Asli yang meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan, 18, antara penerima anugerah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya di sini pada Ahad.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Tapah itu menerima Anugerah Khas yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekali gus membawa pulang hadiah berupa komputer riba, wang tunai, plak serta sijil.

Malah, anak sulung daripada empat adik beradik ini sempat disapa Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang bertanyakan di manakah dia akan menyambung pelajaran.

Fifi Nurfatin berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru malah sudah menghantar permohonan ke Insititut Pendidikan Guru (IPG) dan menunggu keputusan yang dijangka akan keluar pada Ogos depan.

Dia yang menerima Anugerah Khas terkejut apabila dimaklumkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menerima anugerah tersebut melalui aplikasi Whatsapp sebelum mereka datang ke rumah dua minggu selepas menerima keputusan peperiksaan SPM.

Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah Perak: Fifi berhasrat lahirkan lebih ramai anak Orang Asli berjaya
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Khas kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan masyarakat Orang Asli, Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 JULAI 2024.

“Pada masa itu, saya terkejut dan tidak percaya boleh pergi sejauh ini. Jadi, saya berhasrat hendak membuat pembaharuan terutamanya dalam pembangunan pendidikan pelajar di kampung Orang Asli.

“Baru-baru ini, saya ada memberi motivasi di sekolah rendah pedalaman yang rata-rata muridnya terdiri daripada Orang Asli

“Masalah mereka yang dihadapi bukan sahaja susah untuk belajar tetapi hendak pergi ke sekolah pun ada kekangan. Ada (pelajar Orang Asli) yang cakap tiada kenderaan nak pergi ke sekolah, mungkin saya akan cuba untuk dapatkan peruntukan van, bas untuk mereka pergi sekolah.

“Saya berharap selepas menjadi seorang guru, saya hendak buat pembaharuan di kampung Orang Asli supaya dapat lahirkan lebih ramai Orang Asli yang berjaya,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Dalam pada itu, Fifi Nurfatin berharap anugerah yang diterimanya akan menjadi inspirasi kepada pelajar Orang Asli lain.

Kejayaan Orang Asli dari suku Semai itu mendapat liputan media secara meluas apabila menjadi satu-satunya pelajar Orang Asli di Perak yang meraih semua A, daripada keseluruhan 543 calon Orang Asli yang menduduki SPM 2023 di Perak.

Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah Perak: Fifi berhasrat lahirkan lebih ramai anak Orang Asli berjaya
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak kepada Pensyarah Kanan Universiti Sultan Azlan Shah, Prof Madya Dr Ahmad Husni Hasan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 JULAI 2024.

Selain Fifi Nurfatin, Pensyarah kanan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Madya Dr Ahmad Husni Hasan dianugerahi Tokoh Maal Hijrah negeri Perak sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H Peringkat Perak di sini, hari ini.

Ahmad Husni yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, selain anak saudara kepada tokoh ulama terkenal iaitu Syeikh Muhammad Idris Abdul Rauf al-Marbawi atau Syeikh Idris al-Marbawi membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil.

Baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Felo Penyelidik Utama Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud yang membawa pulang wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak serta sijil.

Beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Saidina Ali kepada Mohamad Firdaus Kamaruddin; Anugerah Siti Khadijah kepada Noor Mazlina Noor Shah yang juga Penasihat Rumah Ngaji Perak dan Ikon Asnaf yang dimenangi Robunah Abdul Basir masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, plak, dan sijil.

Anugerah Al-Quba Pengurusan Masjid Terbaik pula diterima Masjid An-Naim, Taman Seri Setia, Teluk Intan manakala Anugerah Al-Baqi Pengurusan Tanah Perkuburan Terbaik pula disampaikan kepada Taman Persemadian Islam Seri Manjung. – MG Perak

VIDEO:

MGPerak: Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah Perak Mahu Jadi Guru Lahir Ramai Anak Orang Asli

MGPerak: Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah Perak Mahu Jadi Guru Lahir Ramai Anak Orang Asli

 

Artikel Berkaitan:

Sabar, jangan gopoh dalam perkenal perkara baharu – Sultan Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI