Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak

PENGGEMAR buah tin yang ingin merasai sendiri pengalaman memetik ‘buah syurga’ itu serta menikmatinya secara segar dari pokok boleh berkunjung ke Figtopia, ladang buah tin terbesar di Perak.

Berkeluasan 0.56 hektar, ladang yang mempunyai lebih 1,000 pokok dengan 60 varieti buah tin itu terletak di Changkat Jering, Taiping dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Jun tahun lalu.

Antara jenis pokok buah tin yang ditanam adalah Constantine De Algerie, Taiwan Golden Fig, Masui Daphine, Brown Turkey Modified 6 dan Iraqi.

Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak
Pelbagai jenis buah tin di Figtopia, ladang buah tin terbesar di Perak.
Berkeluasan 0.56 hektar, ladang yang mempunyai lebih 1,000 pokok dengan 60 varieti buah tin itu terletak di Changkat Jering, Taiping dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Jun tahun lalu. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2024.

Pokok-pokok buah tin tersebut diperoleh daripada pelbagai negara di seluruh dunia antaranya termasuklah Brazil, Portugal, Sepanyol dan Algeria.

Usahawan yang juga pemilik Figtopia, Hawari Waniq, 36, berkata, sebelum ini dia pernah mengusahakan ladang dikenali sebagai Ipoh Figs Farm di kawasan perkelahan Ulu Chepor seluas 0.40 hektar di Ipoh sejak 2017.

Bagaimanapun, selepas melihat potensi penanaman pokok buah tin semakin berkembang, dia bersama rakan kongsinya, Mohd Yusof Nor Badarudin, 38, melebarkan sayap dengan membuka ladang baharu di Taiping yang turut menjalankan aktiviti agro pelancongan.

Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak
Usahawan yang juga pemilik Figtopia Hawari Waniq, 36, (kiri) dan rakan kongsinya, Mohd Yusof Nor Badarudin, 38, menunjukkan tanaman buah tin mereka di Figtopia, ladang buah tin terbesar di Perak.
Berkeluasan 0.56 hektar, ladang yang mempunyai lebih 1,000 pokok dengan 60 varieti buah tin itu terletak di Changkat Jering, Taiping dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Jun tahun lalu. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2024.

“Perbezaan antara ladang lama dan baharu adalah ladang kami kini menawarkan pengunjung untuk merasai pengalaman memetik buah tin sendiri di ladang.

“Buah tin yang telah dipetik akan ditimbang dan dijual dengan harga RM80 sekilogram atau RM8 untuk 100 gram.

“Bagaimanapun, pengunjung yang mengutip buah kurang daripada berat tersebut, kami akan mengira harga mengikut berat buah yang dipetik,” katanya kepada MG Perak baru-baru ini.

Sambal buah tin produk baharu sempena Ramadan

Dalam perkembangan berkaitan, Hawari berkata, identiti utama ladang itu adalah pokok buah tin daripada negara Algeria atau Constantine De Algerie.

“Dikategorikan dalam varieti unik, buah berwarna kuning itu mampu mencapai saiz sebesar 200 gram sebiji.

“Buahnya padat dengan rasa madu unik, manis, berlemak serta mengeluarkan aroma yang menarik,” jelasnya.

Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak
Anak pokok buah tin yang dijual kepada pengunjung di Figtopia, ladang buah tin terbesar di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2024.

Katanya, selain dapat menikmati buah tin segar, pengunjung juga berpeluang mencuba produk-produk yang dihasilkan melalui buah dan daun pokok tersebut.

“Kami turut menghasilkan pelbagai produk berasaskan buah tin seperti Fig cookies, Fig Lemonade, Fig Leaf Tea, Fig Jam, Original Fig Popsicle dan Fig Chocolate Popsicle yang dijual dengan harga berpatutan.

“Produk terbaharu yang bakal diperkenalkan sempena Ramadan ini adalah sambal buah tin versi hijau dan merah yang diformulasikan daripada buah tin yang ditanam di sini,” ujarnya.

Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak
Antara produk makanan yang diperbuat daripada buah tin di Figtopia, ladang buah tin terbesar di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2024.

Buka lembaran baharu jadikan Figtopia agro pelancongan

Menyentuh mengenai Figtopia yang kini menjadi salah satu produk agro pelancongan di Perak, Hawari menjelaskan bahawa dia bersama rakan kongsinya ada menyimpan hasrat untuk menjadi tunjang utama kepada penanaman buah tin di negeri ini.

“Ladang kami yang menggunakan slogan ‘Syurga Buah Tin’ kini membuka lembaran baharu dengan menawarkan aktiviti agro pelancongan kepada pengunjung.

“Pelanggan yang datang berkunjung ke ladang kami boleh memetik buah tin terus dari pokok dan itu adalah keunikan yang sukar didapati di Malaysia.

“Seperti yang kita tahu buah tin adalah buah yang dekat dengan umat Islam serta disebut sendiri dalam surah At-Tin dan kebanyakan pengunjung yang datang sini merasai teruja serta tidak menyangka buah tin boleh ditanam secara komersial di negara kita.

Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak
Usahawan yang juga pemilik Figtopia, Mohd Yusof Nor Badarudin, 38, memantau tanaman pokok buah tin di Figtopia, ladang buah tin terbesar di Perak.
Berkeluasan 0.56 hektar, ladang yang mempunyai lebih 1,000 pokok dengan 60 varieti buah tin itu terletak di Changkat Jering, Taiping dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Jun tahun lalu. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2024.

“Justeru, kami ada mengatur pelbagai perancangan bagi memperluaskan penanaman buah tin di negeri Perak pada masa hadapan.

“Di Figtopia juga, kami membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk mengusahakan ladang buah tin.

“Selain itu, kami juga menawarkan perkhidmatan konsultasi kepada sesiapa yang berminat untuk membuka ladang buah tin dan menjadikannya sebagai tanaman komersial untuk menjana pendapatan,” katanya.

Hawari berkata, sejak dibuka kepada orang ramai, Figtopia menerima kunjungan bukan sahaja dari pelancong tempatan malah pelancong dari China dan Jepun juga pernah datang ke ladang berkenaan.

Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak
PENGGEMAR buah tin yang ingin merasai sendiri pengalaman memetik ‘buah syurga’ itu serta menikmatinya secara segar dari pokok boleh berkunjung ke Figtopia, ladang buah tin terbesar di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2024.

Peroleh sijil MyGap

Sementara itu, Hawari berkata, ladang tersebut telah memperoleh sijil MyGap atau Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia daripada Jabatan Pertanian.

Jelasnya, sijil itu untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.

“Di sini, kami menggunakan kaedah penanaman yang selamat serta tidak mempunyai risiko kepada manusia supaya buah tin yang dihasilkan selamat untuk dimakan,” ujarnya.

Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak
Usahawan yang juga pemilik Figtopia, Mohd Yusof Nor Badarudin, 38, menunjukkan penggemar buah tin yang ingin merasai sendiri pengalaman memetik ‘buah syurga’ itu serta menikmatinya secara segar dari pokok boleh berkunjung ke Figtopia, ladang buah tin terbesar di Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 FEBRUARI 2024.

Orang ramai yang berminat untuk singgah ke Figtopia, bayaran masuk yang dikenakan adalah RM5 untuk dewasa manakala RM3 untuk kanak-kanak.

Bagi pengunjung yang ingin menyimpan kenangan memetik dan makan buah tin di dalam ladang, harga yang dikenakan adalah RM5 sebiji.

Figtopia dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi hingga 4 petang dan ditutup pada hari Jumaat, manakala hari untuk memetik buah adalah pada Selasa, Rabu, Sabtu dan Ahad. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Silverlakes Village Outlet dilimpahi cahaya bersama itik gergasi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI