KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum negara dari RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekali gus memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
“Langkah itu bertujuan merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja yang masih menjadi antara faktor utama tekanan kos sara hidup rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negara 2027 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu.
“Ia bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing,” katanya.
Anwar berkata, pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih rendah, iaitu pada kadar 33.9 peratus.
Menurutnya, beban kos sara hidup terus meningkat apabila pendapatan rakyat tidak berkembang seiring dengan kenaikan harga barangan, sekali gus memerlukan langkah lebih menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi turut diterjemahkan kepada pendapatan pekerja.
“Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh struktur pendapatan negara, kerajaan turut memperkenalkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan menetapkan gaji minimum permulaan RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan.
“Kenaikan gaji minimum sahaja tidak mencukupi kerana pekerja berkemahiran masih berdepan isu ketidaksetaraan antara pendapatan dengan tahap kelayakan dan kemahiran dimiliki,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup dari RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
“Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja,” katanya.
Beliau turut menggesa semua majikan swasta mengikuti langkah kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan dalam menawarkan kadar upah lebih munasabah.
“Ini termasuk syarikat dalam sektor perbankan serta minyak dan gas yang telah menetapkan kadar gaji lebih wajar.
“Kerajaan telah meningkatkan gaji minimum, menetapkan gaji minimum pekerjaan separa mahir dan graduan serta menaikkan gaji penjawat awam. GLIC dan GLC turut menunjukkan teladan.
“Saya menyeru semua majikan swasta untuk mengikut jejak yang sama,” katanya.
Dalam langkah membanteras penggajian pekerja asing tanpa izin, Anwar berkata, syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya bayaran dibuat melalui akaun bank.
“Ia selaras dengan saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.
“Bagaimanapun, syarat itu tidak terpakai kepada tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


