Gesa Kerajaan Persekutuan beri perhatian pada Perak – Exco

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menggesa supaya Kerajaan Persekutuan melaksanakan pembinaan lapangan terbang antarabangsa seperti yang diminta rakyat negeri ini.

Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri sudah berpuluh tahun meminta lapangan terbang namun sehingga ini perkara itu masih belum direalisasikan.

“Janganlah semua pembangunan sampai ke Pulau Pinang dan Selangor sahaja. Apa nak jadi dengan negeri Perak dan ini dilihat melangkaui politik.

“Zaman Pakatan Harapan jadi kerajaan, Barisan Nasional jadi kerajaan, Perikatan Nasional jadi kerajaan dan kini zaman Kerajaan Perpaduan, lapangan terbang tersebut masih belum dibina. Tolonglah lihat orang-orang di Kerajaan Persekutuan kepada masalah di Perak.

“Jangan selalu kata alasan ada kemudahan lebih baik di Pulau Pinang atau di Selangor, lihatlah di negeri ini.

“Kita di peringkat negeri saya rasa saya cukup percaya kita semua yang duduk di sini (Ahli Dewan Undangan Negeri) sudah usaha sehabis baik cumanya kadang-kadang kita rasa Kerajaan Persekutuan perlu lihat kepada keperluan di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Enakmen Perbekalan tahun 2024 dan Usul  Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

Terdahulu, ADUN Jalong itu dalam sesi penggulungannya berkata, kerajaan negeri telah berhempas pulas, menggembleng tenaga serta mengerah keringat dalam usaha menjadikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) sebuah hab penerbangan serantau sebagai hala tuju baharu sistem pengangkutan di Perak.

“Perbincangan bersama beberapa pemain industri antaranya Thailand telah dibuat supaya laluan-laluan baharu penerbangan dapat ditambah dan diwujudkan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengadakan sesi perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan dan pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

“Bagaimanapun, usaha murni ini masih dalam fasa penelitian dan umum sedia mengetahui bahawa lapangan terbang adalah di bawah kawalan pihak swasta.

“Mohon Kerajaan Persekutuan untuk melihat semula dan mempercepatkan permohonan bagi membawa masuk laluan penerbangan baru ke LTSAS serta menaik taraf LTSAS,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sidang DUN Perak kecoh disebabkan ‘konsert liar’

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI