Guru muzik mengaku tidak bersalah atas dakwaan amang seksual

IPOH – Seorang guru muzik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan amang seksual ke atas murid perempuan berumur 10 tahun pada Jun dan Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Nazmi Mohamed Nazri, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa dengan cara menyentuh kemaluan kanak-kanak itu dan meletakkan kemaluannya di punggung mangsa bagi maksud seksual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik muzik di sebuah sekolah di Taman Pengkalan Jaya, Ipoh pada jam 9.45 pagi Jun 2023 dan 10.30 pagi pada Julai tahun ini.

Kedua-dua pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Tertuduh juga hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh sehingga tiga tahun seperti mana di bawah Seksyen 295(1A) Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi

Terdahulu, Qurratu’aini tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan bimbang berlakunya kacau ganggu terhadap mangsa.

Bagaimanapun, Syahrul Nizam memohon jaminan diberikan berikutan anak guamnya itu tidak pernah mengganggu saksi pendakwaan selepas aduan dibuat.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa anak guamnya menghidap sakit jantung dan anemia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 20 Disember ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Ustaz didakwa melakukan amang seksual ke atas kanak-kanak lelaki 12 tahun

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI