Hari Komuniti Plus 2023 jadi platform pelajar PUO mendekati orang asli

IPOH – Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Ungku Omar (MPP PUO) bekerjasama dengan PLUS Berhad bagi menjayakan Program Hari Komuniti PLUS 2023 di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan, di sini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berlangsung selama dua hari itu menggabungkan sukarelawan PLUS Berhad dan pelajar PUO.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi PLUS Berhad Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, program ini secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan pelajar PUO bersama masyarakat Orang Asli dan pihak penganjur.

Beliau yang juga Penaung Hari Komuniti PLUS 2023 berkata, antara aktiviti utama yang dijalankan adalah melukis mural di hadapan Sekolah Rendah Agama Rakyat Orang Asli (SRAROA) Nurul Hikmah.

“PLUS bersama masyarakat Orang Asli amat berpuas hati dengan hasil yang telah disumbangkan.

“Objektif lukisan mural ini adalah untuk menyampaikan maklumat dalam bentuk grafik berhubung keselamatan jalan raya terutama untuk murid sekolah, orang kampung dan masyarakat setempat yang mungkin singgah dan melawat.

“Pada masa sama, idea ini juga membantu menceriakan persekitaran sekolah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi PLUS Berhad Mohd Yusuf Abdul Aziz turut serta melukis mural pada Hari Komuniti PLUS 2023. – Foto Ihsan PUO

Sementara itu, Penyelaras MPP PUO, Mohd Fadil Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada pihak PLUS Berhad yang memberi peluang kepada MPP PUO untuk turut sama menyumbang dalam aktiviti CSR PLUS.

Katanya, penglibatan pelajar ini disasarkan adalah untuk meningkatkan pengalaman kendiri dan kemahiran sosial dengan melibatkan diri dalam projek-projek komuniti.

“Selain itu, pelajar berpeluang untuk mempertingkatkan semangat berpasukan serta ciri-ciri kepimpinan yang memberi impak signifikan kepada kehidupan komuniti di jajaran lebuh raya dengan pelbagai latar belakang sosio ekonomi.

“Kita berharap agar aktiviti seumpama ini dapat diteruskan lagi di masa mendatang sebagai satu usaha untuk PUO mendekati masyarakat dan seterusnya menyumbang untuk pembangunan sosial negara dalam bentuk tenaga, kesungguhan, komitmen dan keprihatinan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

500 sukarelawan JPPKK sertai CSR Rahmah Tambun

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI