IPOH – Polis telah merakam keterangan lima individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas susulan acara Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang yang diadakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan baru-baru ini.
Dua wakil rakyat terbabit adalah ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan ADUN Selinsing, Sallehuddin Abdullah.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, polis telah memperoleh kebenaran untuk menyiasat (OTI) daripada pendakwa raya berhubung kejadian berkenaan.
Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun dan berucap di tempat awam tanpa pemakluman kepada pihak polis dan bukannya atas kesalahan mengibar Jalur Gemilang di tempat awam.
“Pada 28 Oktober seramai lima individu melibatkan pihak penganjur terdiri daripada tiga lelaki daripada sebuah parti politik dan dua ADUN telah dirakam percakapan,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai menghadiri Mesyuarat Isu Keselamatan Negeri Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan kertas siasatan akan dirujuk kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak pada hari ini untuk tindakan lanjut seterusnya dihantar ke Bahagian Perundangan (D5) Bukit Aman.
Sebelum ini media melaporkan, polis telah membuka kertas siasatan perhimpunan anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut dihadiri pimpinan PAS Perak dan penduduk setempat itu pada Sabtu lalu berikutan tiada notis yang dihantar penganjur bagi acara berkenaan.
Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan 400 orang peserta perhimpunan berkenaan.
Kira-kira 200 bendera Jalur Gemilang pelbagai saiz dikibarkan oleh peserta dengan diiringi lagu-lagu patriotik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis akan panggil penganjur Himpunan Kibarkan Jalur Gemilang