Hubungan Malaysia-Romania cerminan nilai budaya, warisan bersama

TANJUNG MALIM – Hubungan antara Malaysia dan Romania yang terjalin sejak tahun 1969 itu membuktikan kedua-dua negara mempunyai ikatan persahabatan serta saling menghormati warisan dan budaya antara satu sama lain.

Duta Besar Romania ke Malaysia, Nineta Barbulescu berkata, pertukaran budaya, perkongsian akademik dan inisiatif ekonomi telah memperkayakan kehidupan rakyat bagi kedua-dua negara.

“Sepanjang tempoh kerjasama terjalin ini, ia mencerminkan nilai bersama dan landskap budaya yang saling berkaitan antara satu sama lain.

“Saya teruja untuk melihat hasil seni lukisan yang dihasilkan oleh para karyawan seni lukis dari Malaysia mahupun Romania terutama sekali dari Tokoh Pelukis Negara, Ismail Embong.

“Majlis pameran yang diadakan ini sangat penting bagi terus memperkasa hubungan persahabatan antara Malaysia dengan Romania yang sudah terjalin sepanjang 55 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pameran Seni Visual Sempena Sambutan 55 Tahun Hubungan Diplomatik – Persilangan Budaya antara Malaysia dan Romania di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, dekat sini, baru-baru ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga Canselor UPSI berkenan berangkat ke majlis dan merasmikan pameran anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM) di Auditorium Utama dan Galeri Seni, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Dalam majlis yang sama, baginda turut melawat pameran Pemvaksinan Human Papilloma Virus (HPV) serta meninjau lebih 50 lukisan di Galeri Seni.

Hubungan Malaysia Romania cerminan nilai bersama negara budaya warisan negara perak tuanku zara UPSI
Tuanku Zara Salim ( tengah) dan Mrs. Nineta Barbulescu bersama tetamu dan duta luar negara. foto UPSI

Turut hadir, Duta Besar Azerbaijan, Georgia, Maldives dan Mexico, dua bekas Duta Besar Malaysia ke Romania, diplomat dari Bangladesh, Hungary, Sudan, Zambia, Georgia, Maldives dan Sudan.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata persamaan budaya Romania dan Malaysia mengeratkan hubungan yang bermakna walaupun berada di sudut dunia yang berbeza.

Mengulas tentang pameran HPV, beliau berkata program itu akan menjadi pelengkap kepada program Imunisasi Kebangsaan dalam mendepani cabaran kesihatan di negara ini.

Kata beliau lagi, ia merupakan inisiatif dan hasil kerjasama strategik antara UPSI dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM).

“Bagaimanapun, program ini bukan sekadar satu inisiatif kesihatan, tetapi langkah proaktif ke arah mencegah kanser serviks yang masih menjadi kebimbangan di Malaysia.

“Dengan menyediakan akses kepada pemvaksinan HPV, program ini bakal memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan terutamanya bagi pencegahan kanser,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin; isteri Orang Kaya Bendahara Sri Maharaja, Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah Md Nor; serta Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah. – MG Perak

Aritkel Berkaitan:
RESQ Team UPSI prihatin bantu mangsa banjir

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI