ALOR SETAR – Seorang wanita maut manakala anak lelakinya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang besi jalan di Jalan Batu Pengasah, Durian Burung, dekat Padang Terap, hari ini.
Ketua Polis Daerah Padang Terap Supt Mohd Anuar Junoh berkata kejadian kira-kira 7.35 pagi itu menyebabkan wanita berusia 55 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di lokasi kejadian, manakala anaknya berusia 21 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Avanza itu cedera di bahagian badan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar penghadang besi jalan berkenaan.
“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala anak mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.44 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.
“Sebaik tiba, didapati seorang wanita tersepit di tempat duduk penumpang hadapan manakala pemandu lelaki telah dihantar ke hospital. Anggota berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Anggota telah menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa serpihan kaca dan tumpahan minyak di sekitar lokasi kejadian. Operasi tamat sepenuhnya pada 9.25 pagi,” katanya.
— BERNAMA


