IIFA 2023 persembah karya seni kontemporari isu sejagat

IPOH – Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIFA) 2023 yang bertemakan “Marcapada: The World Today” memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan karya-karya seni kontemporari menyentuh isu sejagat keberadaan dunia masa kini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cabaran perubahan teknologi, pemeliharaan alam sekitar dan isu-isu kemanusiaan antara intipati yang diterjemahkan ke dalam bentuk karya-karya seni dengan unik dan penuh estetik.

Menurutnya, festival tersebut boleh dijadikan titik pertemuan pelbagai praktis dan disiplin ilmu yang merentasi generasi serta kaum untuk saling mengenali, memahami dan menghormati amalan budaya dan kepercayaan masing-masing.

IIFA 2023 persembah karya seni kontemporari isu dunia masa kini
Orang ramai mengunjungi pameran IIAF23 pada majlis perasmian Ipoh International Art Festival 2023 di Bazar Ipoh (Silveritage). Foto ABDULLAH YUSOF.

“Saya menaruh keyakinan, bahawa penganjuran IIAF 2023 ini berupaya membawa mesej yang jelas kepada masyarakat khususnya kepada warga Perak bahawa bidang seni dan kreativiti juga boleh memainkan peranan yang sama penting dengan bidang-bidang profesional yang lain.

“Ini kerana seni itu sifatnya abstrak dan sejagat, ia dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak mudah dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian IIFA 2023 yang diadakan di Bazar Ipoh (Silveritage), di sini, malam tadi.

IIFA 2023 persembah karya seni kontemporari isu dunia masa kini
Orang ramai mengunjungi pameran IIAF23 pada majlis perasmian Ipoh International Art Festival 2023 di Bazar Ipoh (Silveritage) malam tadi. Foto ABDULLAH YUSOF.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah People of Remarkable Talents (PORT), Salina Samsudin; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Saarani berkata, sebanyak 13 buah negara terlibat dalam keseluruhan program festival pada kali ini antaranya Itali, Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Singapura, Denmark, Jepun, Norway dan Kanada.

Katanya, penganjuran IIAF kali ini turut mendapat kerjasama Balai Seni Negara, Maju Perak Holdings, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Tourism Perak serta menerima sokongan daripada beberapa lagi rakan strategik antaranya, Italian Council, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, Kersan Art Studio (Jakarta), dan Patani Art Space (Thailand).

“Festival ini juga menghimpunkan lebih 100 penggiat seni tempatan dan antarabangsa untuk berkampung dan mengetengahkan keunikan seni masing-masing.

“Sehubungan itu, saya berharap semoga semua inisiatif dan komitmen berterusan yang kita laksanakan dalam mengetengahkan, memartabatkan dan menghidupkan seni dalam kalangan masyarakat akan menjadi pelantar dalam kita membangunkan sebuah negeri yang makmur dan Sejahtera,” ujarnya.

Pelbagai program akan dilaksanakan sepanjang penganjuran festival edisi ketiga anjuran PORT yang berlangsung dari semalam sehingga 12 Disember 2023 ini.

Antara program yang akan diadakan adalah pameran seni visual kontemporari, seni performans, muzik eksperimental, tayangan filem dan video seni, bengkel-bengkel serta forum seni, selain peragaan fesyen dan persembahan konsert. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

IIAF 2023 kumpul 100 seniman, penggiat seni

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI