IPOH – Seramai 107 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara masing-masing oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak pada Khamis.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dalam satu kenyataan ada Jumaat berkata, kesemua PATI berkenaan merupakan tahanan dari Depot Imigresen Langkap, Teluk Intan.
Menurut beliau, kesemua PATI berkenaan merupakan warga Indonesia, India, Pakistan, Vietnam dan Bangladesh yang terdiri daripada tujuh 77 lelaki, 27 perempuan dan tiga kanak-kanak berumur dari setahun hingga 57 tahun.
“Pemindahan PATI ke negara asal ini dilakukan melalui pintu masuk udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
“Ia selepas mereka menyelesaikan bayaran kompaun atau menjalani hukuman denda atau penjara yang telah diputuskan oleh pihak Berkuasa Kehakiman (Mahkamah PATI),” katanya.
Tambah beliau kesemua mereka berjaya dibuktikan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua PATI yang dipindahkan ke negara asal juga telah disenarai hitamkan bagi mencegah mereka dari memasuki semula ke negara ini,” katanya.
Meor Hezbullah berkata, pemindahan warga asing ke negara asal ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membanteras PATI yang dijalankan oleh JIM Negeri Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap. -MG Perak
Artikel Berkaitan: