IPOH – Infrastruktur yang kurang kondusif antara faktor utama menyebabkan hampir 70 peratus kuarters guru di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak masih belum diduduki.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada keseluruhan 3,547 unit kuarters guru yang disediakan, hanya 1,085 unit atau 30.6 peratus sedang diduduki, manakala baki 2,462 unit atau 69.4 peratus masih kosong.
Menurutnya, keadaan sesetengah kuarters yang memerlukan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan turut menjadi antara punca warga pendidik serta kakitangan sokongan tidak memilih untuk tinggal di kuarters berkenaan.
“Selain itu, kakitangan yang mempunyai rumah sendiri, sudah pasti lebih selesa menghuni di rumah sendiri.
“Kadang-kadang kadar rumah sewa lebih murah mengikut kawasan berbanding jumlah potongan imbuhan tetap perumahan dan juga bantuan sara hidup jika menduduki kuarters, jika imbuhan ini tidak dapat diterima penjawat awam dan juga kerana lokasi kuarters yang kurang strategik mungkin agak jauh serta faktor keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Rabu.
Khairudin berkata, isu keadaan kuarters yang kurang kondusif perlu diberi perhatian memandangkan terdapat kediaman yang daif dan memerlukan proses penyelenggaraan serta penambahbaikan pada skala yang tinggi.
“Ada setengah kuarters yang perlukan penambahbaikan struktur pembangunan antaranya bumbung yang bocor, masalah bekalan air serta pembentungan dan berkaitan kemudahan asas yang lain,” ujarnya.
Khairudin berkata, susulan itu, pihak Kementerian Pendidikan Melaysia (KPM) dan JPN Perak sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters pendidikan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat negeri ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
1,212 kuarters guru di Perak masih kosong – Exco


