Insiden lelaki jatuh dari tingkat 13 hotel tiada unsur jenayah – Polis

IPOH – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah berhubung kematian seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari tingkat 13 di sebuah bangunan hotel di Jalan Sultan Idris Shah, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata bagaimanapun mayat mangsa yang berusia 40 tahun itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. 

Katanya, selain itu pihak polis juga sedang berusaha mengesan waris atau ahli keluarga mangsa bagi tindakan lanjut. 

“Polis sedang menjalankan siasatan dan semakan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bersama pihak pengurusan hotel bagi membantu siasatan. 

“Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai jatuh di tingkat enam dari tingkat 13 bangunan hotel berkenaan. Bagaimanapun hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Proses bedah siasat ke atas mangsa di HRPB akan dijalankan pada jam 10 pagi, Selasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes membabitkan mangsa yang beralamat di Taman Nasional di sini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Katanya sebelum itu pihaknya telah menerima maklumat berkenaan kejadian itu daripada orang awam di Balai Polis Sungai Senam, pada jam 9.38 pagi. 

Pagi tadi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kematian seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari tingkat 13 di sebuah bangunan hotel di sini. – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI