Isu kotak makanan: Pas kesal tindakan pusat khidmat ADUN tampal pelekat parti sendiri

IPOH – Pas Perak kesal sikap segelintir pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak menampal lambang parti mereka pada kotak makanan Yayasan Perak.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata,  tindakan itu menyebabkan bantuan kotak makanan itu tidak dapat disalurkan secara terus kepada pusat khidmat ADUN selepas Yayasan Perak mengumumkan akan menyerahkan tugas itu kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bermula Oktober ini.

Menurutnya, Pas Perak sangat jelas berkaitan matlamat dan tujuan pengedaran kotak makanan tersebut kerana pihaknya turut terlibat dalam merangka program berkenaan.

“Dari gambar yang tular di media sosial memang terdapat pusat khidmat ADUN yang menampal gambar lain di kotak yang diedarkan Yayasan Perak terutama dari DAP. Apakah ia benar atau tidak, ia memerlukan siasatan lanjut.

“Berkaitan dengan menukar kotak atau membuat bungkusan lain sepatutnya ia juga diteliti kerana berkemungkinan bukan dari sumbangan Yayasan Perak malah menggunakan peruntukan ADUN sendiri untuk kepentingan rakyat di kawasan masing-masing.

“Jika dakwaan Yayasan Perak itu benar, sewajarnya pusat ADUN terbabit diberikan peringatan atau tindakan dan bukannya menghukum kesemua ADUN terutama dari pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Razman berkata, Pas Perak berpendirian bahawa pengagihan bantuan kotak makanan menerusi pusat khidmat ADUN perlu diteruskan seperti sebelum ini.

Katanya, antara sebab kotak makanan perlu diedarkan melalui pusat khidmat ADUN kerana ia adalah lokasi rujukan rakyat untuk mengemukakan aduan dan bukan menerusi NGO.

Justeru, menurutnya, keputusan Yayasan Perak untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada NGO dilihat tidak sesuai.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian kotak makanan Yayasan Perak tidak lagi diberikan melalui pusat khidmat ADUN sebaliknya melalui NGO.

Beliau berkata, tindakan tersebut diambil kerana dikatakan adanya beberapa pusat khidmat ADUN yang tidak bertanggungjawab menampal lambang parti di kotak tersebut.- MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI