Jeti jadi ‘topeng’ seleweng diesel nelayan, rampasan lebih RM2 juta

BAGAN DATUK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi nelayan yang dipercayai berselindung di sebalik jeti perikanan persendirian di Sungai Sumun, di sini, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM2 juta.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 Bersepadu dan Ops Taring Landai itu dijalankan hasil risikan bersama KPDN dan Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Wilayah Satu, kira-kira jam 12.30 pagi Rabu.

Menurutnya, ketika serbuan, pihaknya mendapati sebuah lori tangki berkapasiti 30 tan sedang memindahkan diesel daripada tiga bot nelayan di jeti berkenaan.

“Modus operandi mereka adalah mengambil diesel bersubsidi yang diperoleh nelayan menggunakan bot kelas C sebelum dibawa ke jeti persendirian untuk dipindahkan ke lori tangki dan tangki skid.

“Maklumat awal yang diterima, kita percaya diesel itu kemudian dibawa kepada pembeli tertentu di Pulau Pinang untuk pasaran industri termasuk kuari, kilang dan sektor pengangkutan,” katanya pada sidang media di lokasi operasi, di sini, pada Rabu.

Kamalludin berkata, pemeriksaan turut mendapati pemilik premis berkenaan tidak mempunyai lesen atau permit barang kawalan diesel yang sah, manakala jeti itu dipercayai baru beroperasi kira-kira dua bulan.

Kata beliau, pihaknya turut mengesyaki pemilik dan pengurus jeti berkenaan adalah individu sama yang pernah diambil tindakan dalam kes berkaitan pada Jun lalu.

“Jeti ini dipercayai diwujudkan untuk mengaburi pihak penguat kuasa kerana sepatutnya ia digunakan untuk aktiviti pendaratan ikan, tetapi ketika serbuan tidak terdapat ikan di situ.

“Jadi, kita percaya jeti ini digunakan sebagai penyamaran bagi membolehkan sindiket menjalankan aktiviti pemindahan diesel tanpa mudah dikesan,” jelasnya.

Kamalludin berkata, diesel berkenaan dipercayai diperoleh melalui saluran subsidi nelayan pada harga RM1.65 seliter sebelum dijual semula kepada pihak tertentu pada harga antara RM4 hingga RM5 seliter.

Tambah beliau, dalam operasi itu, KPDN menyita kira-kira 25,500 liter diesel, sebuah lori tangki 30 tan, tiga bot kelas C, sebuah tangki skid, pam bersama hos serta beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2.82 juta yang merangkumi nilai minyak diesel anggaran RM124,950.

“Dua individu masing-masing lelaki tempatan berusia 49 tahun yang dipercayai tekong bot dan lelaki warga Myanmar berusia 38 tahun yang merupakan pemandu lori, turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya lagi. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

KPDN tumpaskan kegiatan seleweng diesel subsidi nelayan, rampasan setengah juta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI