Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada lebih 300 orang

IPOH – Jumlah mangsa yang terjejas akibat situasi banjir di Perak kini direkodkan mencecah 312 orang dari Daerah Hilir Perak dan Kerian, setakat jam 10 malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata jumlah mangsa yang melibatkan 89 keluarga itu ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu satu di Hilir Perak sementara dua di Kerian.

Katanya jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di Hilir Perak meningkat kepada 170 orang berbanding 112 orang siang tadi.

Katanya PPS yang dibuka sejak Isnin lalu itu menempatkan mangsa dari 11 kawasan penempatan iaitu Lorong Kedah; Lorong Belakang Klinik; Batu 9 Simpang 3; Batu 10; serta Lorong Sidang Osman.

Selain itu ia turut melibatkan mangsa dari kawasan Batu 9; Lorong Mesra; Batu 8; Lorong Sekolah, Kampung Sungai Kerawai serta Batu 7½.

“Manakala bagi daerah Kerian, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak adalah seramai 86 orang dan 21 keluarga setakat jam 10 malam.

“Kesemua mereka dari Kampung Matang Tengah; Kampung Changkat Lobak serta Kampung Beriai.

“Bagi PPS SK Alor Pongsu yang mula dibuka pada jam 3 petang tadi pula, ia sedang menempatkan 56 orang dari 18 keluarga dari Kampung Selekoh; Kampung Beriai; Kampung Parit Air Hitam serta Kampung Parit Ali Kalang,” katanya pada Isnin.

Dalam pada itu menurutnya, berdasarkan kepada data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Bidor, Changkat Jong di Hilir Perak mencatatkan pada paras bahaya iaitu 4.18 meter (m).

Tambahnya sementara Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang di Kinta dan Sungai Kerian di Selama masing-masing merekodkan bacaan paras amaran iaitu 13.69 m dan 11.21 m.

Pada perkembangan sama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan daerah Kinta, Kampar dan Batang Padang sehingga jam 1 pagi Selasa. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI