Kabinet setuju pinda Akta 333, mahkamah ada kuasa arah bayar pampasan kepada mangsa kemalangan

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju secara dasar dengan cadangan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan itu bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu malah turut dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatannya kepada mangsa serta keluarga mangsa.

Menurut beliau, susulan persetujuan dasar tersebut, kementerian akan memulakan proses penggubalan pindaan kepada Akta 333.

Katanya, perincian mekanisme yang dicadangkan akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan pindaan yang digubal jelas, adil dan berkesan sebelum dikemukakan semula kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan seterusnya dibentangkan di Parlimen.

“MOT berhasrat supaya jumlah pampasan tidak ditetapkan secara automatik atau secara pentadbiran oleh kerajaan.

“Sebaliknya, jumlah tersebut ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang ditanggung mangsa atau waris serta kemampuan pesalah untuk membayar.

“Mekanisme pampasan yang dicadangkan ini juga tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil melalui saluran perundangan sedia ada,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loke menambah, cadangan itu juga bagi memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) sebagai mekanisme pencegahan bagi mengenal pasti dan mengawal pemandu berisiko tinggi serta pesalah berulang.

Katanya, penambahbaikan yang dicadangkan merangkumi tatacara pemakluman mata demerit yang lebih jelas, mekanisme representasi dan semakan pentadbiran, serta pelarasan atau penghapusan mata demerit sekiranya sesuatu kesalahan tidak dibuktikan atau tiada sabitan dikenakan.

“Cadangan pampasan mangsa kemalangan jalan raya dan pengukuhan sistem KEJARA merupakan langkah penting dalam memperkukuh keadilan, akauntabiliti dan keselamatan di jalan raya.

“Kementerian komited untuk memastikan kerangka perundangan yang dibangunkan kelak bukan sahaja memberikan pembelaan yang sewajarnya kepada mangsa dan waris, tetapi juga memastikan pesalah bertanggungjawab atas perbuatan mereka serta mencegah kesalahan jalan raya daripada berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI