Kanak-kanak 12 tahun dipukul, ditendang bapa kandung

GERIK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera ditumbuk dan ditendang oleh bapa kandungnya di sebuah rumah di Kampung Perah, dekat sini pada petang Ahad.

Lebih malang kejadian itu berlaku sehari selepas mangsa menyambut hari ulang tahun kelahirannya.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata hasil siasatan awal mendapati, bapa mangsa yang berusia 37 tahun telah datang ke sebuah rumah seorang wanita warga Thailand berusia 35 tahun di Kampung Perah, pada jam 5 petang.

Menurutnya suspek telah masuk ke rumah berkenaan dan menumbuk serta menendang pada bahagian belakang badan anak lelakinya.

Tambahnya, lelaki itu turut bertindak melibas sebilah parang yang berada pada tangannya dan hampir terkena mangsa.

“Hasil siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan telah membawa mangsa yang juga merupakan anak saudaranya pulang ke rumah untuk menyambut hari lahir mangsa pada jam 6 petang, Sabtu.

“Mangsa telah bermalam di rumah pengadu dan akan dihantar pulang pada lewat petang keesokan harinya (Ahad),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Zulkifli, mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan lanjut pada jam 5.20 petang, Ahad.

Katanya pihak hospital mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang badan dan paha mangsa susulan kejadian itu.

“Susulan laporan polis yang diterima pada Ahad, pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujar beliau lagi. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI