Duda tumbuk dan tendang anak didakwa miliki parang

KUALA KANGSAR – Seorang duda yang sebelum ini ditahan kerana menumbuk dan menendang anak lelakinya di Gerik minggu lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki sebilah parang.

Tertuduh, Mohamad Zairi Mohamad, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zairi didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang berhulu plastik dan berwarna merah tanpa sebarang maksud yang sah.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan Kampung Perah, Gerik, pada 30 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 6 Disember depan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu media melaporkan, seorang lelaki diberkas selepas pihak polis menerima laporan dibuat ibu saudara mangsa berhubung tindakan tertuduh memukul anak kandungnya.

Dalam kejadian 29 Oktober lalu, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu cedera selepas dipercayai ditumbuk dan ditendang oleh bapa kandungannya di sebuah rumah di Kampung Perah, Gerik pada jam 5 petang.

Lelaki itu turut dipercayai bertindak melibas sebilah parang yang berada di tangannya dan hampir terkena mangsa. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Kanak-kanak 12 tahun dipukul, ditendang bapa kandung

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI