IPOH – Kejayaan Johor menterjemahkan kestabilan politik kepada pertumbuhan ekonomi wajar dijadikan contoh dalam memperkukuh pembangunan dan keyakinan rakyat di setiap negeri termasuk di Perak.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, kejayaan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya membuktikan kestabilan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi.
Beliau berkata, keselarasan antara kepimpinan parti, kerajaan dan aspirasi rakyat di Johor berjaya mewujudkan keyakinan dalam kalangan pelabur serta masyarakat.
“Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di sana bukan sekadar cerita tentang angka kerusi, tetapi turut mencerminkan keupayaan sebuah organisasi yang bersatu untuk menawarkan hala tuju yang nyata kepada pengundi.
“Lebih mustahak daripada itu, ia membuktikan bahawa apabila agenda organisasi parti dan kerajaan bergerak seiring dengan aspirasi rakyat, modal kestabilan politik yang terhasil mampu diolah menjadi asas kepada pembangunan sosio-ekonomi yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pengalaman berharga tersebut wajar diperhati dan diemulasikan secara berperingkat mengikut acuan tersendiri oleh negeri-negeri lain, termasuk Perak.
Katanya lagi, kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi agenda Maju Johor turut memainkan peranan besar dalam membina kepercayaan rakyat.
Khairul Azwan berkata, rakyat hari ini lebih mengutamakan peluang pekerjaan, kemasukan pelaburan, pembangunan infrastruktur dan keupayaan kerajaan membuat keputusan secara konsisten.
Menurutnya, Johor membuktikan kestabilan politik membolehkan pelaksanaan dasar ekonomi dilakukan secara tersusun sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur.
Beliau berkata, Perak juga mempunyai potensi besar menerusi kedudukan strategik, sektor pertanian, industri pembuatan dan ekonomi baharu yang mampu diperkasakan melalui kesinambungan dasar.
“Di Perak, asas kestabilan yang telah terbina sejak beberapa tahun kebelakangan ini wajib dipertahankan.
“Pendekatan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang mengutamakan kesederhanaan dan kebersamaan telah mewujudkan suasana politik yang lebih tenang, sekali gus membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan rakyat.
“Asas kukuh ini diperkuatkan lagi menerusi pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang kini terbukti sedang menunjukkan hasil sosio-ekonomi yang amat positif, nyata, dan diyakini,” katanya.
Jelas beliau lagi, apabila meneliti naratif kejayaan Johor, rumus utamanya adalah jelas, iaitu kepimpinan yang stabil melahirkan keyakinan rakyat terhadap masa depan.
Katanya, Perak hari ini bertuah kerana sudah memiliki ramuan dan asas kejayaan tersebut menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Di bawah pengurusan strategik organisasi oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di peringkat nasional, serta hala tuju sosio-ekonomi yang jelas menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang digerakkan oleh Datuk Seri Saarani, Perak sedang memacu pertumbuhan ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.


