Kembalikan UPSR tidak jadikan pelajar ‘tikus makmal’ – Anuar

KUALA LUMPUR – Mengembalikan semula Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan menjadikan pelajar sebagai ‘tikus makmal’.

Pakar pendidikan, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, ‘tikus makmal’ merupakan istilah kepada sesuatu yang bersifat masih dalam eksperimen dan kepada perkara yang belum pasti.

Sebaliknya menurut pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, mengembalikan UPSR bukanlah sesuatu yang bersifat eksperimen.

Ini kerana UPSR telah dilaksanakan selama 35 tahun sejak 1988, ujar beliau.

“Kita tidak bereksperimen lagi dengan UPSR. Cuma sepanjang 35 tahun itu telah berlaku ‘kesesatan’ UPSR yang disebabkan oleh para’penunggang UPSR’.

“Itu bukanlah masalah UPSR. Itu masalah dari penunggang UPSR. Jadi penggunaan istilah ‘tikus makmal’ tidak tepat untuk UPSR,” katanya.

Tambah beliau, sebaliknya, istilah ‘tikus makmal’ lebih tepat digunakan untuk Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang dimulakan sejak 2017.

Beliau menegaskan, eksperimen PBD belum selesai hinggalah hari ini dan keluhan ibu bapa serta guru bertali arus sepanjang masa terhadap PBD.

“Kemuncaknya, gesaan supaya UPSR dan PT3 dikembalikan kerana sebahagian besar ibu bapa dan guru-guru yakin bahawa PBD telah gagal selepas tujuh tahun dieksperimenkan.

“Sejak eksperimen dimulakan pada 2017, PBD sentiasa diubahsuai, ditukarkan sistem gred, tambah baik sistem rekod, guru yang tiba-tiba diberikan autonomi, dimesrakan PBD untuk ibubapa dan berbagai lagi eksperimen PBD,” katanya.

Menurut Anuar, bagi merasionalkan eksperimen PBD istilah seperti ‘penambahbaikan berterusan’, ‘penjajaran’, ‘intervensi’ dan ‘penyelarasan’ digunakan.

Istilah itu katanya, membawa maksud bahawa PBD masih di dalam prosedur eksperimen, belum stabil dan belum mantap.

Eksperimen terkini ialah pada bulan Mac 2024 dengan pengenalan PBD mesra ibu bapa di dalam dokumen intervensi kurikulum.

“Siapa sebenarnya yang menjadi ‘tikus makmal’ untuk eksperimen PBD? Tentulah murid.

“Mahu gunakan simpul bahasa yang memgambarkan keadaan sebenar tentang isu UPSR dan PBD bukanlah ‘seperti tikus makmal’, tetapi yang lebih tepat ialah ‘seperti tikus membaiki labu’,” katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini dilaporkan berkata, anak-anak bukan tikus makmal ketika mengulas desakan supaya UPSR dan PT3 dimansuhkan.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan masih kekal dengan keputusan terdahulu yang memansuhkannya pada 2022. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI