KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin mengingatkan bahawa Kerajaan Madani yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah hasil kerjasama pelbagai parti politik dan bukan bergantung kepada satu parti semata-mata.
Beliau berkata, walaupun peranan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan diiktiraf dan dihormati, adalah tidak tepat untuk menggambarkan seolah-olah kewujudan kerajaan hari ini hanya bergantung kepada satu blok politik.
“Kerajaan Madani lahir hasil dukungan pelbagai parti yang sanggup mengetepikan perbezaan demi kestabilan negara.
“Pakatan Harapan menyumbang 82 Ahli Parlimen, BN 30 Ahli Parlimen, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 Ahli Parlimen, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam Ahli Parlimen Warisan tiga Ahli Parlimen selain sokongan daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan MUDA,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kenyataan itu dipercayai sebagai reaksi kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak mungkin dapat dibentuk tanpa sokongan BN selepas PRU-15.
Menurut Danish, kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya itu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 146 Ahli Parlimen daripada pelbagai latar belakang politik yang memilih kestabilan negara mengatasi perbezaan parti.
“BN sememangnya memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan, namun untuk mengatakan kerajaan tidak mungkin dapat ditubuhkan tanpa BN adalah pandangan yang kurang tepat.
“Pada ketika itu terdapat pelbagai rundingan dan kemungkinan politik yang sedang berlangsung melibatkan pelbagai blok parti politik sebelum akhirnya semua pihak mencapai persefahaman demi kepentingan negara,” tegasnya.
Beliau berkata, selepas lebih tiga tahun mentadbir negara, Kerajaan Madani masih menikmati sokongan majoriti yang kukuh di Dewan Rakyat dan kekal melepasi ambang minimum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Katanya, keadaan itu membuktikan kekuatan kerajaan hari ini berdiri atas dukungan kolektif semua parti komponen termasuk rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Danish berpandangan sebarang kenyataan yang memberi gambaran hanya satu pihak menjadi penyelamat kepada kerajaan tidak membantu mengukuhkan semangat kerjasama dalam Kerajaan Madani.
“Kerajaan ini dibina atas semangat kerjasama, toleransi dan saling menghormati antara semua parti yang terlibat.
“Tiada mana-mana pihak boleh menuntut kejayaan ini secara bersendirian kerana ia merupakan hasil usaha dan pengorbanan bersama,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan sejarah politik negara menunjukkan sikap terlalu yakin dengan kekuatan sendiri sering membawa implikasi negatif kepada parti dan pemimpin yang terlibat.
Justeru, beliau berharap semua pihak dalam kerajaan terus memberi tumpuan kepada agenda rakyat dan memperkukuh kerjasama yang menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette
Tanpa 30 kerusi BN, Kerajaan Persekutuan tak terbentuk – Zahid


