Kerajaan Perak perinci bantuan sesuai buat pesawah terjejas isu pengairan

PARIT – Kerajaan Negeri Perak sedang memperincikan bentuk bantuan yang sewajarnya disalurkan kepada pesawah yang mengalami kerugian pendapatan susulan isu pengairan di beberapa kawasan di daerah Perak Tengah.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihaknya kini sedang melihat mekanisme terbaik bagi meringankan beban golongan terbabit yang terkesan akibat kegagalan saluran air di dua atau tiga kawasan yang telah dikenal pasti.

“Kita akan melihat apakah bentuk-bentuk bantuan-bantuan yang boleh kita salurkan kepada pesawah yang menghadapi hilang pendapatan kerana masalah bekalan air di dua, tiga kawasan terlibat.

“Selain itu, saya akan berbincang dengan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di bawah portfolionya bersama beberapa agensi berkaitan untuk kita akan datang sendiri ke ‘spot’ ini untuk mengkaji dan meneliti apakah cadangan-cadangan yang terbaik yang baru untuk mengatasi masalah bekalan air saluran air kepada pesawah-pesawah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Rumah Pam Teluk Bakong, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata, pengorbanan pesawah dalam memastikan kelangsungan sekuriti makanan negara amat besar, justeru perhatian sewajarnya harus diberikan baik di peringkat kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

Kerajaan Perak perinci bantuan sesuai buat pesawah terjejas isu pengairan
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak berkenaan Isu Bekalan Air untuk Skim Pengairan Teluk Bakong di Rumah Pam Teluk Bakong, Parit, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2026.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyegerakan cadangan menjadikan kawasan luar jelapang di Perak Tengah sebagai kawasan jelapang padi yang baharu.

“Kita pernah mencadangkan kepada kementerian supaya Perak Tengah di luar jelapang ini dimasukkan dalam kawasan jelapang padi. Kawasan jelapang padi, dan perkara ini telah dibangkitkan pada 2017.

“Justeru, kita berharap supaya kementerian KPKM menyegerakan cadangan kerajaan negeri supaya Perak Tengah ini dimasukkan di bawah kawasan jelapang padi yang baru selain daripada Seberang Perak dan Kerian.

“Maka bila ada masuk dalam kawasan jelapang ni sudah tentulah dia akan memberikan kebaikan-kebaikan yang terbaik dan sebagainya selain daripada untuk kita mengatasi masalah air yang dihadapi oleh pesawah-pesawah pada masa sekarang ini,“ ujarnya.

Kawasan penanaman padi luar jelapang di Perak Tengah meliputi kawasan seluas 3,160 hektar melibatkan 1,200 pesawah dan setakat  ini 1,700 hektar telah ditanam pada musim pertama manakala baki sekitar 1,400 hektar masih belum ditanam disebabkan pelbagai faktor termasuk isu pengairan, kekangan modal dan pengurusan tanah.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kubang Haji, Titi Gantung dan Bota Kiri, manakala masalah di Teluk Bakong dilaporkan hampir selesai selepas tindakan pembaikan rumah pam oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Terdahulu, Mohammad Nizar memaklumkan, kerajaan negeri sedang menilai cadangan pembinaan telaga tiub serta penyediaan unit pam bergerak sebagai langkah proaktif bagi menangani krisis pengairan sawah di luar kawasan jelapang padi daerah Perak Tengah.– MG Perak

Artikel Berkaitan:

Telaga tiub, pam bergerak antara cadangan atasi krisis pengairan sawah di Perak Tengah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI