BAGAN SERAI – Kerajaan Negeri Perak telah mengenal pasti lebih 1,200 pesawah yang terjejas akibat masalah bekalan air dan cuaca panas di daerah Perak Tengah khususnya di Bota serta mempertimbang bentuk bantuan sesuai bagi meringankan beban mereka.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pesawah itu dikenal pasti susulan lawatan yang diadakan pada lawatan kerja ke lokasi tersebut dua minggu lalu bertujuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Bota.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang meneliti bantuan bersesuaian berdasarkan kehilangan pendapatan serta pengeluaran tanaman padi yang terjejas.
“Lebih kurang 1,265 pesawah terlibat dan kerajaan negeri akan memberikan perhatian serius berdasarkan keperluan, kehilangan pendapatan serta pengeluaran mereka dan perkara berkenaan akan dibawa untuk pertimbangan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada minggu depan.
“InshaAllah kerajaan negeri telah pun meneliti dan akan mengumumkan sesuatu kepada pesawah-pesawah yang menghadapi masalah bekalan air dan juga kehilangan pendapatan kepada tanaman pertama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, merasmikan Peladang Agro Karnival Perak 2026 di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di sini, hari ini.
Mohd Zolkafly berkata, Mohd Zolkafly berkata, hasil tinjauan yang dilakukan kira-kira dua minggu lalu mendapati masalah di kawasan berkenaan berpunca daripada faktor cuaca panas selain isu teknikal berkaitan bekalan air.
“Masalah bekalan air berpunca daripada isu teknikal dan cuaca, selain memerlukan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk pelepasan air serta pembaikan pam air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang rosak akibat dimasuki pasir sehingga menjejaskan pengairan ke kawasan sawah.
“Perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada jabatan dan agensi yang terlibat yang telah komited, yang telah dapat mengatasi masalah bekalan air di Bota itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) adalah bagi mengelakkan pesawah dan petani mengubah tanaman mereka kepada tanaman yang lain.
“Masalah subsidi dan bekalan input mesti disempurnakan, dipercepatkan supaya tidak ada halangan kepada pesawah untuk menanam padi mengikut jadual.
“Kalau dari segi baja, input baja, racun, subsidi dan sebagainya, ini perlu diberikan perhatian oleh pihak kementerian kepada pesawah padi.
“Kerana pada saya pesawah ini telah berkorban, telah berkorban untuk rakyat, bukan sahaja negeri Perak tetapi seluruh negara kerana merekalah menghasilkan beras padi yang menjadi makanan utama kepada rakyat Malaysia.
“Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan ataupun kerajaan negeri,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, keadaan cuaca panas melampau yang berpanjangan telah memberi kesan terhadap tanaman padi di beberapa kawasan di daerah Perak Tengah, khususnya di Bota.
Situasi tersebut turut menyebabkan pesawah berdepan kekangan bekalan air untuk mengairi kawasan sawah.
Keadaan semakin membimbangkan apabila sebahagian pesawah terpaksa menangguhkan aktiviti penanaman, malah ada yang mengambil keputusan untuk tidak mengusahakan sawah berikutan masalah kekurangan sumber air. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan Perak perinci bantuan sesuai buat pesawah terjejas isu pengairan


