Kerajaan sedia tambah peruntukan STR, SARA jika ekonomi terus mengukuh – PM Anwar

IPOH – Kerajaan bersedia untuk menambah peruntukan pada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekiranya kedudukan ekonomi negara terus mengukuh bagi membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sedang diteliti selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai keupayaan kewangan negara untuk menambah bantuan berkenaan.

“Saya telah bincang, semalam (Sabtu) saya panggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan, apakah mungkin kita tambah lagi SARA.

“Kalau keadaan ekonomi mengizinkan, dalam Belanjawan nanti saya fikir bagaimana nak tambah peruntukan untuk bantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program MADANI Kita di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Tambun, di sini, pada Ahad.

Program anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Rela, Datuk KPjR Rosli Yaakub.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keperluan menambah bantuan tersebut selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup yang masih memberi tekanan kepada rakyat walaupun terdapat penurunan harga bahan api.

“Kerana kita juga tahu kadar (harga barang di pasaran) walaupun harga minyak turun, tetapi harga barang asas itu kadang-kadang susah dikawal.

“Misalnya bawang. Tanaman itu kita beli dari negara India, kita tanam tak banyak, jadi apbila harga di India naik, ia memberi kesan kepada kita,” katanya.

Pada masa sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu, kerajaan juga akan memperluas pelaksanaan program Jualan Rahmah bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan pada harga lebih rendah.

“Mungkin untuk Perak dan terutamanya di Tambun ini, kita tambah Jualan Rahmah supaya rakyat dapat membeli dengan kos lebih rendah,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut menghargai peranan Rela yang disifatkan bukan sahaja membantu aspek keselamatan, malah menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi.

Tambah beliau, kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM3 juta yang antaranya digunakan bagi kerja baik pulih kediaman anggota yang uzur dan daif.

“Tahun ini kita teruskan dengan peruntukan RM3 juta lagi untuk kebajikan anggota Rela yang memerlukan bantuan,” jelasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

BUDI95: Sistem JPN, MOF diintegrasikan bersama elak penyelewengan Bantuan SARA berulang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI