Ketatkan pendaftaran tanda pengenalan ternakan dan anjing

KAMPAR – Kerajaan Perak bakal mengetatkan peraturan membuat penandaan atau pendaftaran tanda pengenalan terhadap ternakan dan anjing liar bagi menangani isu haiwan merayau.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, langkah itu penting bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemilik yang membiarkan haiwan mereka mengancam keselamatan orang awam.

Menurut beliau, jawatankuasa bagi menanggani isu haiwan merayau seperti lembu dan kerbau serta anjing liar di peringkat negeri telah ditubuhkan sebelum ini dengan merangka penyelesaian jangka pendek dan panjang.

“Salah satu cabaran yang kita hadapi bagi menangkap haiwan berkeliaran dan terbiar ini adalah ia tidak mempunyai tanda pengenalan, jadi kita tidak dapat mengesan siapa pemiliknya.

“Jadi ini merupakan salah sebuah aspek yang diberikan oleh kerajaan negeri di mana kita cuba untuk meninjau dan mengetatkan peraturan dari segi tanda pengenalan haiwan sama ada anjing yang berlesen atau tidak berlesen serta ternakan yang merayau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas hadir pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Operasi Bersepadu Haiwan Merayau di antara Majlis Daerah Kampar (MDKpr), Majlis Daerah Tapah (MDT) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) di Hotel De Cassia, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Yang Dipertua MDKpr, Ahmad Suqairy Alias; Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli dan Yang Dipertua MDT, Ahmad Roslan Mohamed Nazir.

Tambah beliau, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan kaedah yang boleh dilaksanakan dalam mengetatkan peraturan sedia ada bagi memastikan tanda pengenalan haiwan dipasang oleh pemiliknya.

“Ia bagi memudahakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan ke atas pemiliknya,” katanya.

Mengulas mengenai MoU antara MDKpr, MDT dan MDBG, Sandrea berkata, kerjasama melibatkan ketiga-tiga PBT berkenaan bakal mengurangkan masalah haiwan merayau serta terbiar di ketiga-tiga kawasan PBT tersebut.

Ujar beliau, pihaknya melihat keperluan untuk memperluaskan lagi kerjasama dalam kalangan PBT di negeri ini memandangkan ia mampu menjimatkan masa, wang dan tenaga.

“Inisiatif ini membolehkan PBT bekerjasama dari segi kawasan menjalankan operasi bersama tanpa sempadan, berkongsi kelengkapan dan tenaga dalam menyelesaikan isu ternakan merayau dan anjing terbiar,” katanya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI