IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pertumbuhan ekonomi negara perlu disemak semula sekiranya konflik Asia Barat berlarutan dan menjadi semakin serius.
Baginda bertitah, ekonomi negara diunjurkan berkembang sekitar empat hingga lima peratus bagi tahun ini namun unjuran dan harapan eknomi negara berubah selepas tercetusnya konflik Asia Barat sejak 28 Februari lalu.
Titah baginda, konflik di Asia Barat berpotensi mencetuskan krisis ekonomi dunia dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang jika krisis tersebut berlanjutan.
“Antara impak paling ketara yang dihadapi oleh dunia ketika ini ialah peningkatan kos logistik dan pengangkutan susulan faktor keselamatan.
“Impak keseluruhan terhadap Malaysia akan bergantung pada tempoh konflik ini berlangsung. Oleh itu pertumbuhan ekonomi Malaysia perlu disemak semula jika konflik berlarutan dan menjadi semakin serius,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Baginda turut bertitah mengenai kejayaan Perak merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM15.75 bilion melibatkan 560 projek, RM10.54 bilion pelaburan domestik dan RM5.2 bilion pelaburan asing pada tahun lalu.
Titah Sultan Nazrin lagi, hampir RM9.4 bilion dilaburkan dalam sektor pembuatan, diikuti RM6.35 bilion bagi perkhidmatan dan RM13.5 juta dalam sektor utama perladangan dan komoditi.
“Kutipan hasil negeri pada tahun 2025, mencecah hampir RM1.5 bilion meningkat RM162 juta berbanding kutipan hasil tahun 2024.
“Selama empat tahun berturut-turut, kerajaan Beta berjaya menutup akaun hasil disatukan dengan kedudukan surplus, mencatatkan lapan puluh lima juta ringgit surplus (sebelum diaudit) pada 31 Disember 2025,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, hasil yang meningkat membolehkan kerajaan baginda memperuntukkan RM1.6 bilion perbelanjaan negeri bagi tahun 2026, merupakan peruntukan perbelanjaan tertinggi dalam sejarah negeri.
Titah baginda, daripada jumlah berkenaan RM1,045.5 juta bagi maksud mengurus dan RM568 juta bagi maksud pembangunan. -MG Perak


