Konsultan projek pembinaan didenda RM8,000, penalti khas RM673,083.54

IPOH – Seorang konsultan projek pembinaan didenda RM8,000 dan penalti khas RM673,083.54 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagi tiga tahun berturut-turut.

Ng Kok Eng, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Kok Eng gagal mengemukakan satu penyata pendapatan dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan B bagi tahun taksiran 2016, 2017 dan 2018 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Dia didapati tanpa sebab munasabah telah gagal mengemukakan penyata bagi pendapatan bercukai berjumlah RM227,807 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM42,573.68 bagi tahun 2016.

Bagi tahun 2017 pula, tertuduh gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai sebanyak RM411,950 yang boleh dikenakan cukai RM87,637.50 manakala bagi tahun 2018 pula penyata pendapatan bercukai sebanyak RM442,000 yang boleh dikenakan cukai RM94,150.

Bagaimanapun, OKS tiada sebab yang munasabah, telah gagal mengemukakan penyata-penyata tersebut yang mempunyai pendapatan bercukai sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mengikut pertimbangan terbaiknya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa LHDN, Umisalamah Abd Latif manakala OKS tidak diwakili peguam.

Kok Eng dalam rayuan memohon mahkamah agar meringankan hukuman kerana perlu menanggung ibu dan seorang anak serta merayu supaya pembayaran penalti khas dibuat secara ansuran.

Selain itu, dia yang kali pertama dituduh di mahkamah turut menyesali perbuatan tersebut.

Umisalamah dalam penghujahannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat kerana OKS adalah pesalah cukai tegar dan melakukan kesalahan serius.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 jika gagal bayar tiga bulan penjara dan penalti khas sebanyak RM673,083.54 dibayar kepada LHDN. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI