TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak menyerbu sebuah kilang memproses seri kaya di Taman Glenview di Kamunting, di sini semalam selepas didapati menggunakan logo halal yang tidak sah.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kilang itu diserbu penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping sekitar jam 10.45 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kilang tersebut mengeluarkan produk makanan iaitu seri kaya.
“Pemeriksaan lanjut ke atas produk akhir, mendapati terdapat logo halal pada bungkusan sekaya tersebut. Selain itu, produk makanan ini juga dipercayai adalah untuk edaran jualan di sekitar negeri Perak dan Pulau Pinang.
“Kita juga mendapati pemilik perniagaan telah gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, susulan serbuan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki telah menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).
“Sebanyak 65 unit produk seri kaya yang siap dan 2,000 unit bekas plastik yang tertera logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan serta dokumen berkaitan telah disita dan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM452.25.
“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.
“Jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM500,00 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: