KPDN serbu stor haram simpan 5,550 liter diesel tanpa permit

BAGAN DATUK – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah stor haram yang disyaki menyimpan 5,550 liter diesel tanpa permit di Kampung Melayu Jenderata, Hutan Melintang, dekat sini, pada Selasa.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Teluk Intan ke atas premis berkenaan sekitar jam 12.18 tengah hari.

Menurutnya, ia dilakukan susulan hasil risikan dan pemantauan selama seminggu ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan Hutan Melintang.

Kata beliau, pihaknya berjaya mengesan sebuah lori tangki memasuki stor berkenaan disyaki tempat untuk memindahkan cecair diesel ke dalam tangki skid di premis tersebut.

“KPDN Cawangan Teluk Intan melakukan serbuan dan berjaya menahan dua lelaki tempatan, iaitu pemandu lori dan pemilik premis.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai 50 liter cecair disyaki diesel di dalam sebuah tong ‘drum’ dan 5,500 liter cecair sama di dalam tangki skid di premis stor haram tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Kamalludin berkata, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis stor haram itu gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran bagi menyimpan barang kawalan.

Tambah beliau, KPDN Perak menyita kesemua bahan api berkenaan, serta pam minyak, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori tangki dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM280,539.

Kata Kamalludin, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan KPDN.

“Siasatan lanjut juga akan dilaksanakan di bawah Peraturan 9 (2) (b) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ke atas syarikat pembekal barang kawalan minyak diesel kerana disyaki menjual atau membekalkan barang kawalan kepada orang yang tidak mempunyai permit,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

KPDN Perak rampas 493 unit katrij pencetak berjenama palsu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI