KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) segera merangka garis panduan jelas berhubung pertindihan bidang kuasa sistem pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Pengerus Tetapnya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihak pentadbiran sekolah mesti diberikan mandat dan autoriti yang sah untuk memantau, menyelia dan mengintervensi aspek disiplin serta keselamatan sepanjang tempoh KAFA beroperasi tanpa menjejaskan integriti kurikulum asal yang ditetapkan oleh Jakim.
Selain itu, menurutnya, GPMS turut menggesa supaya jadual pengoperasian dan garis masa pergerakan murid KAFA disusun semula dengan lebih efisien, sistematik dan selamat.
Jelas beliau, penstrukturan semula itu harus mengambil kira tempoh transisi murid serta waktu-waktu kritikal yang sering kali terdedah kepada isu kelonggaran kawalan disiplin.
“Masalah mendasar yang telah dikenal pasti ialah ketiadaan kuasa intervensi secara langsung oleh pihak pentadbiran sekolah ke atas pelaksanaan KAFA yang berada di bawah bidang kuasa Jakim.
“Keadaan ini diburukkan lagi oleh kegagalan pelaksanaan libat urus yang inklusif antara pentadbir sekolah arus perdana dengan guru-guru KAFA, sehingga mewujudkan lompang pengurusan yang meletakkan keselamatan fizikal murid dalam risiko yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap insiden tragis membabitkan seorang murid Tahun Lima yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah ketika cuba mengambil sarang burung sewaktu tempoh KAFA berlangsung semalam.
Tambah Nik Saiful Adli, guru-guru KAFA sebahagian besarnya bukanlah pengajar yang menerima latihan profesionalisme perguruan yang komprehensif seumpama guru-guru di bawah KPM.
Katanya, persepsi songsang sesetengah pihak yang melihat KAFA sekadar `pendidikan sampingan’ telah mengakibatkan kelas-kelas ini kurang mendapat perhatian sewajarnya, sekali gus menjejaskan aspek penguatkuasaan disiplin.
Malah, ujarnya, timbul kecenderungan di sesetengah premis di mana wujud jurang pemisah di antara guru KAFA dan pihak pentadbiran sekolah di mana pihak sekolah sekadar dianggap sebagai `penyedia tempat’ dan pembekal murid semata-mata tanpa mempunyai autoriti kawalan.
Di samping itu, tambahnya, GPMS turut memohon KPM dan Jakim mempertimbangkan semula dengan hujah yang teliti terhadap pelaksanaan kemasukan murid Darjah Satu ke kelas KAFA yang bermula pada tahun ini.
“Mengambil kira faktor psikologi perkembangan kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun yang masih belum matang untuk menilai risiko keselamatan diri secara mandiri, penempatan mereka dalam persekitaran KAFA yang kini berhadapan dengan kekangan nisbah bilangan guru yang terhad, amat membimbangkan dan memerlukan penilaian semula bagi memastikan kawalan keselamatan adalah optimum,” katanya.
Tegas Nik Saiful Adli, tanggungjawab menyelia kebajikan, disiplin dan keselamatan guru-guru serta murid-murid KAFA tidak boleh lagi diletakkan di atas bahu satu pihak sahaja.
Sebaliknya, ujar beliau, ia wajib dipikul secara muafakat dan diletakkan di bawah tanggungjawab bersama antara KPM dan Jakim melalui satu memorandum persefahaman yang kukuh.
“Ini demi memastikan tiada lagi anak-anak kita yang menjadi mangsa akibat ketidakcekapan birokrasi dan kelompangan tatakelola pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette


