PASIR SALAK – Seorang lelaki orang asli yang dilaporkan hilang ketika memancing di Lombong Air Kuning, Chenderong Kelubi di Kampung Gajah dekat sini semalam ditemukan lemas hari ini.
Mangsa, Ngah Azman a/l Anjang Baharuddin, 55, ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sekitar jam 12.30 tengah hari tadi selepas 21 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.10 petang semalam.
Menurutnya, seramai 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Teluk Intan dan Pulau Pangkor digerakkan ke tempat kejadian.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi SAR yang ditangguhkan semalam disambung semula pada hari ini dengan anggota membuat size-up dan mengaplikasikan konsep LAST (Life-saving Assistance and Support).
“Pasukan bertugas melakukan pencarian menggunakan bot penyelamat dengan teknik mencari di permukaan air manakala pasukan PPDA melakukan selaman pada satu titik (spot) terakhir mangsa dipercayai lemas.
“Sekitar jam 12.06 tengah hari, pasukan PPDA telah berjaya menemui mayat mangsa sewaktu membuat selaman di spot berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan: