Makan durian sepuasnya di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR – Penggemar raja buah kini boleh menikmati pelbagai jenis durian segar di kawasan seluas 21 hektar di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini, menerusi pakej Duriotourism bermula dari 9 sehingga 29 Julai ini.

Pakej Duriantourism@MARDI Kuala Kangsar dibuka semula tahun ini sempena musim durian selepas kali terakhir dibuka kepada orang ramai pada 2019.

Pengunjung yang mengikuti pakej ini akan dibawa menaiki tram serta berhenti di beberapa petak (pit stop) buah-buahan lain sekitar ladang sambil didedahkan dengan cara penjagaan pokok dan klon durian yang terdapat di sini.

Makan durian hingga puas di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar
MARDI Kuala Kangsar menyediakan perkhidmatan tram untuk pengunjung melihat keindahan ladang durian dan menikmati kelazatan pelbagai jenis gred durian di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JULAI 2024.

Menerusi pakej tersebut, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati durian semata-mata malah boleh memetik rambutan, manggis, mesta dan limau bali serta merasa keenakan buah-buahan tersebut yang dihasilkan menerusi penyelidikan di institut berkenaan.

Pengarah MARDI Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob berkata, pakej Duriotourism dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 9 Disember 2017 namun terpaksa ditutup pada tahun 2020 sehingga 2022 akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, pakej tersebut sepatutnya dibuka semula pada tahun lalu namun kualiti buah yang dihasilkan tidak mencapai standard ditetapkan atas faktor keadaan cuaca yang tidak menentu.

Makan durian hingga puas di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar
Terdapat 219 jenis durian di kawasan seluas 21 hektar, di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JULAI 2024.

“Alhamdulillah, selepas beberapa tahun kita dapat membuka semula pakej tersebut tahun ini memandangkan kualiti buah adalah sama seperti tahun sebelumnya serta mampu menampung permintaan sepanjang tempoh musim buah-buahan.

“Kita juga membuka semula pakej ini atas permintaan penggemar buah yang pernah datang ke sini seperti penunggang motosikal berkuasa tinggi (riders), persatuan dan sebagainya.

“Pakej Duriotourism ini terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pagi 10 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang dari 4 hingga 6 petang pada kadar harga RM50 bagi dewasa, kanak-kanak (RM18) dan warga emas serta orang kurang upaya (OKU) (RM35).

Makan durian hingga puas di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar
Pengunjung berpeluang merasai buah rambutan sambil menikmati pemandangan ladang buah tersebut di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JULAI 2024.

“Selain itu, mereka yang tidak mahu mengikuti pakej ini boleh datang terus ke Mardi Kuala Kangsar untuk membeli buah durian dengan harga RM25 sekilogram.

“Orang ramai yang berminat untuk membeli tiket bagi mengikuti pakej ini boleh melihat slot tiket yang dijual melalui pautan disediakan di Facebook MARDI Kuala Kangsar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaiha Zeeti berkata, setakat ini terdapat 20 klon durian yang ditanam di sini, antaranya D2, D6, D7, MDUR 78, D176, D133 dan D17.

Makan durian hingga puas di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar
Penolong Pegawai Penyelidik MARDI Perak, Mohammad Ammaruddin Mohamed Amin memberi taklimat kepada pengunjung dan pengamal media yang menaiki tram di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JULAI 2024.

“Kita memang ada niat untuk tanam 219 varieti durian sebab kita merupakan satu stesen sokongan untuk milikan durian dan kalau boleh kita nak ada koleksi untuk rujukan orang-orang di luar di sini.

“Cumanya untuk mencari varieti itu tidak semua tempat yang ada. Jadi, kita akan rujuk kepada Jabatan pertanian kerana mereka adalah salah satu jabatan yang ada koleksi durian ini,” jelasnya.

Beliau berkata, MARDI Kuala Kangsar hanya berfungsi sebagai pusat sokongan sahaja manakala pusat kecemerlangan yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) adalah di MARDI Sintok, Kedah.

Makan durian hingga puas di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar
Pengamal media berpeluang merasai buah durian secara segar di Duriotourism@MARDI Kuala Kangsar, Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JULAI 2024.

“Walaupun jenis durian sama namun ia akan beri rasa berbeza jika ditanam di kawasan berlainan. Sebab itu usaha kami lebih kepada menanam durian manakala di Sintok mereka lebih kepada R&D dan penanaman baharu untuk hibrid di sini.

“Disebabkan ada kawasan tanah yang lapang akibat musim kemarau ia akan diberikan kepada pegawai penyelidik untuk menjalankan tanaman durian hibrid yang baru,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Harga durian di Perak murah berbanding tahun sebelum – Pembeli

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI