Malaysia perlu perkukuh daya tahan ekonomi hadapi ketidaktentuan global

IPOH – Malaysia perlu terus memperkukuhkan daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian sektor, pengukuhan sistem kewangan serta kerjasama serantau bagi menghadapi landskap ekonomi global yang tidak menentu.

Penasihat Kanan Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, perubahan geopolitik dunia menyaksikan perdagangan kini semakin dijadikan sebagai ‘senjata’ khususnya oleh negara-negara besar yang sekali gus mewujudkan pelbagai cabaran baharu.

Menurutnya, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia kekal sebagai antara negara yang paling kurang terjejas di rantau Asia Tenggara hasil usaha diplomasi ekonomi dan kerjasama rapat dengan pelbagai negara.

“Insya-Allah, Malaysia akan dapat melalui tempoh krisis ini dengan baik. Setakat ini kita merupakan antara negara yang paling kurang terjejas di Asia Tenggara dan ia hasil daripada banyak usaha di belakang tabir serta kerjasama dengan pelbagai negara.

“Hari ini perdagangan semakin dijadikan senjata. Kita melihatnya berlaku antara kuasa-kuasa besar dunia dan ia memberi kesan kepada rantaian bekalan serta perdagangan global,” katanya.

daya tahan ekonomi Malaysia ketahanan ekonomi Malaysia ekonomi Malaysia hadapi ketidaktentuan global ekonomi Malaysia berdaya tahan daya tahan ekonomi negara ekonomi Malaysia dan perdagangan global ketidaktentuan ekonomi global sistem kewangan Islam Malaysia kerjasama ekonomi ASEAN perdagangan global Malaysia WCIT 2026 Perak
Penasihat Kanan Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein ketika forum Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 kali kelapan yang dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 21 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada panel Forum Ekonomi: Pembangunan dan Kerjasama sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, pada Selasa.

Panel diketuai Pengasas Ketua Pegawai Bukan Eksekutif Emir Research, Datuk Dr Rais Hussin dengan dibarisi empat panel yang terdiri daripada Nurhisham; serta Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali.

Selain itu, panel turut terdiri bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz serta Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pembiayaan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan, Dr. Mahmoud Mohieldin.

Mengulas lanjut, Nurhisham berkata, kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka, sejarah perdagangan yang terbuka serta kepelbagaian budaya menjadi antara kelebihan utama negara untuk terus kekal berdaya saing berbanding negara membangun lain.

Jelas beliau, banyak negara Islam ketika kini masih berdepan cabaran besar untuk mempelbagaikan ekonomi kerana terlalu bergantung kepada sektor komoditi, khususnya minyak dan gas, sehingga mewujudkan apa yang disifatkannya sebagai ‘resource trap’ atau ‘perangkap sumber’.

“Apabila sesebuah negara mempunyai sumber komoditi yang besar, pelaburan akan terus tertumpu kepada sektor itu sehingga mengurangkan pembangunan sektor lain serta penggunaan modal insan dalam bidang yang pelbagai.

“Pada masa sama, peningkatan halangan perdagangan, kos logistik dan sekatan bukan tarif menjadikan ruang pembangunan semakin mencabar kepada kebanyakan negara Islam,” ujarnya.

daya tahan ekonomi Malaysia ketahanan ekonomi Malaysia ekonomi Malaysia hadapi ketidaktentuan global ekonomi Malaysia berdaya tahan daya tahan ekonomi negara ekonomi Malaysia dan perdagangan global ketidaktentuan ekonomi global sistem kewangan Islam Malaysia kerjasama ekonomi ASEAN perdagangan global Malaysia WCIT 2026 Perak
Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz ketika forum Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 kali kelapan yang dianjurkan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 21 JULAI 2026.

Sementara itu, Zeti berkata, negara membangun termasuk Malaysia perlu berusaha mencipta lonjakan pembangunan ekonomi dan bukannya hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi secara berperingkat.

Beliau berkata, sistem kewangan Islam mempunyai kelebihan tersendiri kerana setiap transaksi kewangan disokong oleh aktiviti ekonomi sebenar, selain mengamalkan perkongsian risiko, ketelusan serta pendedahan maklumat yang lebih baik.

“Semua ini menjadikan sistem kewangan Islam kurang terdedah kepada gangguan kewangan (konvensional). Malah indeks pasaran saham syariah menunjukkan prestasi yang lebih baik walaupun turut menerima tempias ketidaktentuan ekonomi global.

“Oleh itu, kita perlu memacu bentuk pembiayaan ini kerana ia mampu menyokong pertumbuhan ekonomi yang bukan sahaja di peringkat negara tetapi juga ekonomi global,” katanya.

Tambah beliau, keupayaan Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi sejak beberapa dekad lalu membuktikan negara ini mempunyai daya tahan yang tinggi.

Jelas Zeti, Malaysia berjaya beralih daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada ekonomi dipacu eksport dan pelaburan, selain memperkukuh sistem kewangan pasca Krisis Kewangan Asia pada penghujung tahun 1990-an.

Tambah beliau, kerjasama serantau turut menjadi elemen penting dalam memperkukuhkan daya tahan ekonomi kerana tiada negara mampu berdepan cabaran global secara bersendirian.

“Anda tidak boleh bergerak bersendirian. Kita perlu bekerjasama dan ASEAN telah membuktikan integrasi serantau mampu menjadi antara pemacu utama kepada pembangunan dan ketahanan ekonomi,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pembangunan sebenar tidak pinggir golongan rentan – Sultan Nazrin

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI