Mangsa banjir di Perak kekal 470 orang di lima PPS

IPOH – Jumlah mangsa banjir di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini, kekal seramai 470 orang daripada 145 keluarga melibatkan daerah Hilir Perak dan Kerian setakat pagi Khamis.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan berkata, daerah Hilir Perak merekodkan mangsa banjir paling ramai sebanyak 316 mangsa daripada 102 keluarga yang ditempatkan di tiga buah PPS.

“Daripada jumlah berkenaan seramai 163 mangsa daripada 51 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, 140 mangsa daripada 45 keluarga di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, (MPTI) dan 13 mangsa daripada enam keluarga di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

“Dewan Serbaguna Chikus merupakan PPS terbaharu yang dibuka di Hilir Perak iaitu sekitar jam 6.00 petang pada Rabu selepas kediaman mangsa di Kampung Baru Ayer Hitam dan Batu 9, Simpang Tiga di Langkap di naiki air,” katanya.

Mengulas lanjut, Sekretariat JPBN Perak berkata, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian kekal seramai 154 mangsa daripada 43 keluarga melibatkan dua buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu.

Mangsa banjir hilir perak APM 2
Mangsa banjir di Perak kekal seramai 470 orang melibatkan lima PPS yang dibuka. Foto ihsan APM HILIR PERAK.

“Seramai 97 mangsa daripada 24 keluarga melibatkan Kampung Matang Tengah, Kampung Changkat Lobak dan Kampung Beriai masih ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak.

“Bagi PPS SK Alor Pongsu pula seramai 57 mangsa daripada 19 keluarga melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Selekoh, Kampung Beriai, Kampung Parit Air Hitam 2 dan Kampung Parit Ali Kalang ditempatkan di SK Alor Pongsu,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong merekodkan peningkatan kepada 4.30 meter pada pagi Khamis berbanding 4.28 meter pada petang Rabu.

Katanya, paras berkenaan berada pada tahap bahaya berbanding paras normal 2.0 meter dan Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula menunjukkan paras berjaga-jaga, dengan ketinggian 13.36 meter berbanding paras normal 10 meter.

Sementara itu, Sekretariat turut memaklumkan papan tanda amaran sementara telah dipasang di laluan A129 Jalan Langkap – Air Hitam sebagai amaran kepada orang ramai.

“Bagi laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang pula dibuka hanya kepada kenderaan ringan sahaja melibatkan satu lorong ekoran keadaan bahu jalan yang runtuh,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Sebuah lagi PPS dibuka di Perak, mangsa banjir meningkat 471 orang

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI