Sebuah lagi PPS dibuka di Perak, mangsa banjir meningkat 471 orang

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat setakat jam 8.00 malam pada Rabu dengan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di buka di daerah Hilir Perak.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, PPS Dewan Serbaguna Chikus, di daerah Hilir Perak dibuka pada jam 6.00 petang Rabu selepas air memasuki kediaman penduduk di dua kampung.

Menurut Sekretariat JBPN Perak, seramai 13 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Baru Ayer Hitam dan Kampung Batu 9, Simpang Tiga dipindahkan setakat malam Rabu.

“Pembukaan PPS berkenaan menjadikan jumlah PPS yang dibuka di Perak setakat ini sebanyak lima buah PPS dengan tiga di daerah Hilir Perak dan dua daerah Kerian.

“Jumlah mangsa banjir setakat ini adalah seramai 471 mangsa daripada 145 buah keluarga yang ditempatkan di lima PPS,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sekretariat JBPN Perak berkata jumlah mangsa di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap juga merekodkan peningkatan kepada 142 mangsa daripada 46 buah keluarga berbanding 21 mangsa daripada enam keluarga pada sebelah pagi.

“Bagi jumlah mangsa di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan pula, kekal seramai 162 mangsa daripada 50 buah keluarga setakat malam ini.

“Begitu juga dengan jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak seramai 97 mangsa daripada 24 keluarga dan 57 mangsa daripada 19 keluarga di PPS SK Alor Pongsu bagi daerah Kerian,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong merekodkan peningkatan kepada 4.28 meter daripada 4.18 meter sebelah pagi.

Katanya, paras berkenaan berada pada tahap bahaya berbanding paras normal 2.0 meter dan Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula menunjukkan paras berjaga-jaga, dengan ketinggian 13.46 meter berbanding paras normal 10 meter.

Sementara itu, Sekretariat turut memaklumkan papan tanda amaran sementara telah dipasang di laluan A129 Jalan Langkap – Air Hitam sebagai amaran kepada orang ramai.

“Bagi laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan di daerah Batang Padang pula dibuka hanya kepada kenderaan ringan sahaja melibatkan satu lorong ekoran keadaan bahu jalan yang runtuh.

“Selain itu, laluan FT 147 Jalan Selama kini ditutup kepada semua kenderaan dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah. jelasnya. -MG Perak

Artikel  Berkenaan:

Mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 340 orang

Mangsa banjir Teluk Intan terus meningkat

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI