Mangsa banjir Teluk Intan terus meningkat

IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 310 orang daripada 91 buah keluarga pada petang Selasa membabitkan empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan pertambahan mangsa banjir hanya melibatkan PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan, di daerah Hilir Perak.

Menurutnya, PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap masih tidak menempatkan sebarang mangsa namun masih beroperasi seperti biasa.

“Seramai 156 mangsa daripada 48 buah keluarga membabitkan 11 buah kampung di Teluk Intan di tempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak setakat jam 6 petang pada Selasa.

“Manakala, jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan PPS SK Alor Pongsu, di daerah Kerian masih kekal sama,” katanya dalam satu kenyataan pada petang Selasa.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 4.08 meter (m) berbanding paras normal 2 m.

“Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula menunjukkan paras berjaga-jaga, dengan ketinggian 13.09 m berbanding paras normal 10 m,” ujarnya.

Sementara itu, Sekretariat turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama sudah dibuka kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun orang ramai masih boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan – Kampung Masjid.

“Bagaimanapun, laluan FT 147 Jalan Selama kini ditutup kepada semua kenderaan dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Mangsa banjir di Perak kembali bertambah kepada 299 orang

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI