Mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 340 orang

IPOH – Mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 340 orang daripada 99 keluarga di empat pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan daerah Hilir Perak dan Kerian pada pagi Rabu

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, daerah Hilir Perak merekodkan pertambahan mangsa melibatkan PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap.

“Sebanyak 21 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan semula ke PPS Dewan MPTI sejak semalam ekoran kediaman mereka dinaiki air disebabkan hujan lebat.

“Sebelum ini PPD Dewan MPTI telah dikosongkan selepas semua mangsa sebelum ini dibenarkan pulang namun tidak ditutup,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sekretariat JBPN Perak, jumlah PPS di negeri ini masih kekal empat melibatkan PPS Dewan MPTI Langkap dan Dewan Serbaguna Padang Tembak bagi daerah Hilir Perak dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu di daerah Kerian.

“Seramai 165 mangsa daripada 50 keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak melibatkan 11 buah kampung di Teluk Intan.

“Manakala bagi daerah Kerian pula seramai 97 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS SK Changkat Lobat dan 57 mangsa daripada 19 keluarga di PPS SK Alor Pongsu,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya dengan mencatat ketinggian 4.18 meter berbanding paras normal 2.0 meter.

“Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula menunjukkan paras berjaga-jaga, dengan ketinggian 13.066 meter berbanding paras normal 10 meter” ujarnya.

Sementara itu, Sekretariat turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama sudah dibuka kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun orang ramai masih boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan – Kampung Masjid.

“Bagaimanapun, laluan FT 147 Jalan Selama kini ditutup kepada semua kenderaan dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah,” jelasnya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI