MARDI, UPSI, tanam 35 anak pokok pelbagai jenis

TANJUNG MALIM – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan penanaman 35 anak pokok buah-buahan pelbagai di kampus institusi pendidikan itu, dekat sini, pada Khamis.

Program yang berlangsung di UPSI Adventure Park, Pusat Kokurikulum di Kampus Sultan Azlan Shah itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena Program Transformasi Minda (PTM) MARDI 2025.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata program itu adalah inisiatif yang bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar, malah memberi manfaat kepada pelajar, khususnya dalam bidang pertanian dan hortikultur.

Katanya, usaha itu juga dapat membantu universiti dalam memperkukuhkan elemen pembelajaran berasaskan pengalaman dan amalan hijau di kampus.

“Kerjasama strategik ini memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar UPSI dengan memberi pendedahan praktikal mengenai teknik penanaman serta kepentingan pemeliharaan ekosistem hijau.

“UPSI amat mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada keseluruhan ekosistem kampus,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya turut berharap agar inisiatif seumpama itu dapat diperluaskan termasuk dengan penambahan jenis tanaman serta program pemantauan.

“Kami berhasrat untuk memperkukuhkan lagi program seperti ini agar dapat memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar serta komuniti setempat.

“Kerjasama dengan agensi penyelidikan seperti MARDI amat penting dalam memastikan program ini berjalan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, MARDI bakal merangka satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan penyelidikan hasil tanah dan tanaman di UPSI, khususnya di daerah Muallim, pada masa hadapan.

Ujar beliau, MARDI turut akan menyumbangkan lebih banyak benih dan pokok buah-buahan tempatan, khususnya durian daripada pelbagai varieti, yang boleh ditanam di kawasan kampus institusi pendidikan berkenaan.

“Melalui kolaborasi ini, kita dapat memanfaatkan kepakaran kedua-dua institusi dalam membangunkan penyelidikan yang berimpak tinggi untuk sektor pertanian negara.

“Kerjasama antara MARDI dan UPSI yang terjalin sejak tiga tahun lalu dijangka terus diperluas dengan pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi, yang akan memberi manfaat kepada sektor pertanian serta masyarakat secara keseluruhannya,” jelasnya.

Program PTM yang berlangsung selama tujuh hari di UPSI menyaksikan penglibatan 110 pegawai yang bukan sahaja diberi peluang untuk memahami asas perkhidmatan awam, malah turut terbabit dengan aktiviti komuniti setempat. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

UPSI bincang kerjasama strategik bersama Atase Akademik Kedutaan Libya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI