Maritim Malaysia rampas 50 unit bubu naga

PARIT BUNTAR – Sebanyak 50 unit bubu naga berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kurau, di sini pada jarak kira-kira 1.4 batu nautika nautika barat daya muara Kuala Gula, pada petang Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, kesemua bubu naga itu dikesan pasukan bot peronda Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

Menurut beliau, bubu naga itu dikesan menerusi penemuan pelampung putih yang mencurigakan di lokasi terbabit sebelum anggota Maritim Malaysia mendekati kawasan berkenaan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 50 unit bubu naga berada di lokasi terbabit dan anggota maritim kemudiannya menaikkan bubu berkenaan untuk dirampas bagi tujuan siasatan.

“Kesemua bubu yang dirampas itu dianggarkan bernilai hampir RM4,000 dan telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya ,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen yang sah.

Mohd Najhan berkata, Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim khususnya nelayan agar sentiasa menjaga kelestarian ekosistem marin negara dan menggunakan kaedah perikanan yang dibenarkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-727 9919 atau Malaysian Emergency Response Services (MERS 999) untuk tindakan segera. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI