Maritim Perak selamatkan dua nelayan warga Indonesia

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menyelamatkan dua nelayan warga Indonesia selepas bot dinaiki mereka mengalami kebocoran dan tenggelam di Pulau Perak, dekat sini, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima panggilan daripada ejen bot tunda memaklumkan kejadian itu berlaku pada kedudukan 53 batu nautika dari barat laut pulau berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian bot yang dinaiki dua nelayan terbabit dalam pelayaran dari Pulau Langkawi menuju ke Lumut.

“Bot tunda Bomber 1601 berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa dikenali sebagai M Jabar, 38, dan Musliadi M Aji, 44, yang berasal dari Kabupaten Acheh Timur, Indonesia.

“Kedua-dua nelayan terbabit berada dalam keadaan sihat dan selamat serta diserahkan kepada Maritim Perak untuk tindakan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut khususnya ketika keadaan laut tidak menentu.

“Komuniti maritim juga disarankan untuk memastikan segala keperluan peralatan keselamatan dalam keadaan baik ketika melakukan aktiviti menangkap ikan sebagai langkah awal menyelamatkan diri dari kecelakaan di laut sementara menanti pasukan menyelamat tiba,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Maritim tahan 14 warga asing dan tiga bot kelas c

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI