Pertandingan Forum Piala MB Perak julung kali libat penyertaan antarabangsa

IPOH – Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak melakar sejarah apabila tahun ini buat julung kalinya membuka penyertaan di peringkat antarabangsa.

Bertemakan ‘Bahasa dan Budaya Teras MADANI Sejahtera’ pertandingan kali ke-16 itu secara tidak langsung membantu memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai medium wacana ilmu merentas sempadan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pertandingan itu bukan sekadar pentas untuk mencungkil bakat tempatan malah menjadi platform yang menarik minat pelajar dari pelbagai negara untuk berbahas dan berhujah dalam bahasa Melayu.

Menurutnya, pertandingan yang diperkenalkan sejak 2011 itu telah berkembang daripada sebuah pentas yang menghimpunkan bakat tempatan, kepada wadah yang menarik minat pelajar dari pelbagai negara untuk menggunakan bahasa Melayu dalam wacana ilmu.

“Saya difahamkan, walaupun pertandingan kategori antarabangsa berlangsung secara dalam talian, peserta dari luar negara turut bersama-sama mengikuti majlis penutupan pada pagi ini.

“Kepada semua peserta antarabangsa, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas kesungguhan saudara saudari mempelajari serta menggunakan bahasa Melayu dengan penuh yakin.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa tujuh pasukan telah mengambil bahagian dalam kategori antarabangsa, melibatkan peserta dari Uzbekistan, Brunei Darussalam, China, Indonesia dan Thailand, selain penyertaan pelajar antarabangsa dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Forum Piala Menteri Besar ke-16 Peringkat Antarabangsa 2026 di Dewan Seri Tanjung, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh di sini pada Khamis.

Pertandingan Forum Piala MB Perak julung kali libat penyertaan antarabangsa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Ke-16 Peringkat Antarabangsa 2026 di Dewan Seri Tanjung, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 02 JULAI 2026.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Dasar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohd Salahuddin Mohamed dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr Yazid Abdul Manap.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kepelbagaian penyertaan ini membuktikan bahawa bahasa Melayu terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat antarabangsa yang melihatnya sebagai bahasa yang mempunyai nilai ilmu dan nilai budaya.

“Mereka melihat bahasa Melayu sebagai pintu untuk mengenali rantau ini, memahami masyarakatnya, mendekati budayanya dan meneroka khazanah ilmunya.

“Apabila orang luar sanggup mempelajari bahasa Melayu, itu sepatutnya menambah keyakinan kita sendiri untuk menggunakan bahasa ini dengan lebih baik,” ujarnya.

Pada edisi pertama yang melibatkan kategori C (antarabangsa) itu, Universitas Trunodjoyo Madura dari Indonesia dinobatkan sebagai johan, diikuti Universiti Brunei Darussalam selaku naib johan, manakala tempat ketiga menjadi milik Tashkent State University of Oriental Studies, Uzbekistan.

Johan kategori antarabangsa menerima hadiah wang tunai RM2,000, manakala naib johan membawa pulang RM1,500 dan pemenang tempat ketiga menerima RM1,000.

Bagi kategori B (prauniversiti), IPG Kampus Sultan Mizan, Terengganu diumumkan sebagai johan sekali gus membawa pulang piala pusingan, diikuti IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur sebagai naib johan, manakala tempat ketiga disandang IPG Kampus Ipoh (A).

Ketiga-tiga pemenang turut menerima hadiah wang tunai dengan jumlah yang sama seperti kategori antarabangsa.

Pertandingan Forum Piala MB Perak julung kali libat penyertaan antarabangsa
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Ke-16 Peringkat Antarabangsa 2026 di Dewan Seri Tanjung, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 02 JULAI 2026.

Bagi kategori A (peringkat ijazah sarjana muda) pula, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (A) muncul johan sekali gus membawa pulang piala pusingan dan hadiah wang tunai RM5,000; naib johan dimenangi IPG Kampus Ipoh (A) yang menerima RM3,000, manakala UPSI (B) menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM2,000.

Pemenang bagi kategori prapuniversiti dan kategori utama turut menerima hadiah iringan, manakala semua peserta menerima sijil penyertaan.

Selain itu, peserta yang terpilih sebagai Pengerusi Forum Terbaik dan Panel Forum Terbaik bagi setiap kategori turut menerima wang tunai dan hadiah iringan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI hantar akademia mengajar bahasa Melayu di Uzbekistan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI