IPOH – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menyokong penganjuran pelbagai program sempena Bulan Muzik Bandaraya Ipoh yang berlangsung sepanjang Julai hingga pertengahan Ogos depan.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM50,000 untuk memastikan acara berkaitan berjalan lancar sepanjang bulan berkenaan.
Menurutnya, antara program terbesar yang diadakan adalah Harmony Music Cup Pertandingan Muzik Antarabangsa Ke-3 anjuran Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh.
“Pada tahun pertama, pertandingan ini hanya melibatkan wakil daripada Malaysia sahaja, malah kebanyakannya adalah dari Perak.
“Bagaimanapun, pada tahun ketiga penganjurannya ia telah berkembang menjadi acara muzik yang melibatkan penyertaan peserta antarabangsa daripada China dan Taiwan serta beberapa negara lain termasuk juri daripada Romania dan Shanghai,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Muzik Bandaraya Ipoh serta Majlis Penyampaian Hadiah Harmony Music Cup Pertandingan Muzik Antarabangsa Ke-3 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Loh berkata, pihaknya turut meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Malaysia selaras dengan konsep Malaysia Madani menerusi penganjuran pelbagai pertandingan kebudayaan.
“Kami mengadakan pertandingan-pertandingan kebudayaan dan melibatkan penggiat-penggiat seni daripada kebudayaan Melayu, India, dan Cina. Pada masa yang sama, kami juga mempunyai seni muzik moden seperti muzik Barat, gendang-gendang dan sebagainya.
“Pada penghujung acara finale nanti, iaitu kira-kira sebulan dari sekarang, kami akan menganjurkan sebuah persembahan istimewa yang menampilkan gabungan persembahan kebudayaan dan konsert.
“Persembahan ini akan melibatkan wakil-wakil pemenang dari sini serta wakil dari Bandaraya Nanning, China, yang juga ‘Sister City‘ (Bandar Raya Kembar) kami.
“Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh pertukaran budaya antara Malaysia dan China, meningkatkan persefahaman antara kedua-dua negara serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang sedia terjalin,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Ipoh Bandar Muzik’ sasar 10,000 pengunjung, tarik penyertaan dari China, Colombia


