IPOH – Kesibukan membuat persiapan menghadapi peperiksaan bukan penghalang buat pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (A) untuk muncul johan kategori A Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Ke-16.
Wakil pasukan, Nuramiraasha Rashdan, 23, berkata, komitmen setiap ahli pasukan membolehkan mereka membahagikan masa antara latihan dan akademik sehingga berjaya mempertahankan kecemerlangan universiti itu dalam pertandingan berkenaan.
“Kemenangan ini bukan berkisar tentang diri saya sendiri, malah berkisar tentang ahli pasukan saya di mana kami berusaha secara bersama-sama termasuk masa yang dikorbankan untuk latihan.
“Untuk pengetahuan semua, kami sedang berada di minggu ulang kaji dan minggu depan kami akan menghadapi peperiksaan.
“Bagaimanapun, kami masih boleh membahagikan masa dengan baik untuk latihan demi Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), demi UPSI itu sendiri serta membawa nama UPSI di persada antarabangsa,” katanya.

Pelajar Tahun Ketiga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Forum Piala Menteri Besar ke-16 Peringkat Antarabangsa 2026 di Dewan Seri Tanjung, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh di sini pada Khamis.
Katanya, kejayaan itu adalah hasil usaha berpasukan dan sokongan pensyarah pembimbing yang sentiasa menyuntik semangat kepada semua ahli.
“Pada peringkat akhir semalam kami diberi tajuk ‘Warisan Budaya dan Identiti Generasi Madani’. Sepanjang 20 minit berforum di atas pentas itu, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
“Kami juga tidak sangka akan mendapat johan untuk kali kedua. Alhamdulillah, ini rezeki berkat usaha dan semangat yang kami bawakan.
“Pensyarah kami, juga selalu berpesan supaya sentiasa membawa aura juara. Cara perwatakan, pembawaan diri dan cara bercakap turut mencerminkan diri kita sendiri,” ujarnya.
Nuramiraasha berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu bermula pada 2024, namun pasukannya ketika itu gagal mara ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, katanya, pada tahun lalu, UPSI menghantar dua pasukan iaitu UPSI FBK dan UPSI Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dengan UPSI FBK berjaya mara ke peringkat akhir, manakala dia berjaya menerima anugerah Pengerusi Forum Terbaik selama dua tahun berturut-turut.
“Tahun ini, UPSI membuat sedikit kelainan dengan menghantar dua pasukan iaitu UPSI A dan UPSI B dari FBK. Pasukan UPSI A ini terdiri daripada pelajar-pelajar senior seperti saya dan UPSI B daripada pelajar junior.
“Kami turut mencari pelapis dan Panel Forum Terbaik pasukan kami adalah pelajar semester dua dan ahli baharu dalam pasukan ini.
“Alhamdulillah, kejayaan kami ini juga adalah berkat daripada semangat yang diberikan oleh pensyarah, kawan-kawan dan juga sokongan ibu bapa masing-masing,” jelasnya.
Pasukan UPSI A membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM5,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pertandingan Forum Piala MB Perak julung kali libat penyertaan antarabangsa


