Masjid An-Nur, IPD Kampar terima sumbangan lapan unit komputer

KAMPAR- Lapan unit komputer bernilai RM9,100 disumbangkan kepada Masjid An-Nur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar daripada Prosontech Sdn. Bhd. (PTSB) dengan kerjasama Pejabat Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Mohd Azlan Helmi berkata, ia merupakan salah satu inisiatif yang digerakkan oleh PTSB melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyumbang sekaligus memenuhi keperluan masyarakat.

“Secara dasarnya, ia bukan hanya berkisarkan kepada bantuan dalam memenuhi keperluan masyarakat bahkan usaha yang digerakkan oleh PTSB ini menyumbang kepada kemajuan masyarakat khususnya dalam bidang teknologi.

“Usaha yang digerakkan melalui sumbangan ini juga wajar diberikan pujian dan saya berharap lebih banyak pihak swasta tampil bersama-sama dalam menyediakan apa jua kemudahan yang mampu membantu dan memberi nilai tambah kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program CSR Pejabat Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak bersama PTSB kepada Masjid An Nur dan IPD Kampar di sini, pada Rabu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PTSB Ahmad Razali Kamarulzaman; Pegawai Daerah Kampar merangkap Pengerusi Masjid An-Nur Nazrul Fazani Mohamad serta Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Mohamad Nazri Daud.

Sementara itu, Ahmad Razali berkata meskipun sumbangan yang diberikan kepada Masjid An-Nur dan IPD Kampar tersebut mempunyai objektif berbeza namun ia terarah kepada bantuan yang memberi nilai tambah serta manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Untuk Masjid An-Nur ini sumbangan terarah kepada peningkatan literasi digital dan akses kepada maklumat dalam komuniti masjid manakala IPD Kampar pula, ia lebih memfokuskan kepada pemerkasaan sumber teknologi yang memudahkan urusan harian dan komunikasi.

“Diharapkan juga, sumbangan kemudahan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

TTM sumbang peralatan studio multimedia RM25,000 kepada SKNI

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI