Maut renjatan elektrik: ‘Sudah sampai janjinya, saya reda’ – Ibu mangsa

IPOH – Nik Nor Diana Ismail, 44, tidak menyangka perbualan melalui aplikasi Whatsapp pada malam Sabtu merupakan perbualan terakhir dengan anaknya.

Muhamad Nadim Taqwa Abdul Malek, 14, disahkan meninggal dunia selepas menjadi salah seorang daripada dua mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah gerai burger di Taman Bercham Raya, di sini, pada awal pagi tadi.

Nor Diana berkata, walaupun berasa berat, namun dia reda akan ketentuan takdir ke atas anak kedua daripada tiga anaknya itu.

Keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menuntut jenazah Muhamad Nadim Taqwa Abdul Malek, 14, salah seorang pekerja ditemukan maut terkena renjatan elektrik di sebuah gerai burger di Taman Becham Raya di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2023

Dia yang menetap di Batu Pahat, Johor kira-kira tiga tahun lalu selepas berpisah dengan suami, Abdul Malek Abdul Samat, 61, berkata, sebelum ini arwah sering memberitahu yang dia merindui ayam goreng kunyit hasil air tangan ibunya.

“Dia ada kata yang dia rindu akan ayam goreng kunyit yang saya masak. Bulan lepas dia ada cakap nak datang Johor, dan saya katakan kepada dia, ‘marilah datang, nanti ibu hari-hari masakkan ayam goreng kunyit, nak datang terus pun tak apa’.

“Dia pun ada maklumkan yang dia nak datang ke Johor hujung bulan ini. Saya tanya tentang itu kepadanya lagi semalam, dia kata mungkin dalam seminggu lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada Ahad.

Nor Diana berkata dia dikejutkan dengan panggilan daripada bekas suaminya itu sekitar jam 2 pagi yang memaklumkan Muhamad Nadim Taqwa bersama rakannya, Mohamad Elias Kamarudin, 30, maut akibat renjatan elektrik di sebuah gerai burger.

Keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika menuntut jenazah Muhamad Nadim Taqwa Abdul Malek, 14, salah seorang pekerja ditemukan maut terkena renjatan elektrik di sebuah gerai burger di Taman Becham Raya di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2023

“Saya memang tak sangka satu-satunya anak lelaki saya itu meninggal dunia akibat renjatan elektrik. Tapi tidak mengapa, saya reda akan pemergian dia.

“Sudah sampai janjinya untuk pergi, dan jika takdir ALLAH untuk saya bersamanya selama 14 tahun, saya terima,” katanya.

Selain seorang yang pendiam, Nor Diana berkata Muhamad Nadim Taqwa disifatkan sebagai seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan sebarang kata-kata ibu bapanya.

Sementara itu, bapa arwah, Abdul Malek berkata selain membantunya berniaga pasar malam, anaknya yang tinggal bersamanya itu juga mengambil upah mengemas gerai burger di Taman Bercham Raya.

Artikel berkaitan:

Abdul Malek berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika anaknya dan seorang rakan sedang bersiap menutup operasi gerai berkenaan sebelum kedua-duanya terkena renjatan elektrik.

Bapa mangsa Abdul Malek Abdul Samat, 61, ketika menuntut jenazah anaknya Muhamad Nadim Taqwa, 14, salah seorang pekerja ditemukan maut terkena renjatan elektrik di sebuah gerai burger di Taman Becham Raya di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 OKTOBER 2023

“Semalam, dia tolong saya berniaga ayam goreng di pasar malam Bercham Raya sebelum ke gerai burger sekitar pukul 12.30 tengah malam sebab dia mengambil upah mengemas.

“Apa yang diberitahu, rakannya yang mula terkena renjatan elektrik sebelum dia cuba membantu. Kejadian menimpa mereka pun diketahui selepas seorang penghantar makanan kebetulan melalui hadapan gerai tersebut,” katanya.

Difahamkan Allahyarham Muhamad Nadim Taqwa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun sementara jenazah Allahyarham Mohamad Elias akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor.

Terdahulu media melaporkan dua pekerja ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah gerai burger di Taman Becham Raya, pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 1.15 pagi tadi. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI